1,688 individu terima vaksin

LAWATAN… Datuk Amar Douglas Uggah Embas melakukan lawatan ke Bilik Operasi Perintah Kawalan Perge- rakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, baru-baru ini.

KUCHING: Seramai 1,688 individu yang kebanyakannya petugas barisan hadapan menerima vaksin Covid-19 pada hari pertama pelancaran program vaksinasi peringkat negeri pada Jumaat.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, laporan akhbar yang melaporkan hanya seramai 132 individu yang menerima vaksin Covid-19 tersebut adalah tidak tepat.

Menurutnya, beliau secara peribadi terkejut dengan laporan akhbar tersebut kerana Kerajaan Negeri komited dengan sasaran seramai 900,000 individu lagi untuk divaksin seterusnya.

“Semalam, proses vaksinasi telah dilakukan di pusat-pusat pemberian vaksin Covid-19 di beberapa bahagian kecuali Bintulu, Miri dan Limbang,”katanya.

Jelasnya, proses itu telah berjalan lancar, jadi laporan akhbar mengatakan hanya seramai 132 individu yang divaksin adalah berita palsu. Program imunisasi ini akan diteruskan ke kawasan luar bandar pada April depan dan dijangka proses vaksinasi di seluruh negeri akan selesai menjelang Ogos ini.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan ke Bilik Operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Emperoh Jambu, Padawan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 155 kes melibatkan Kluster Emperoh Jambu dikesan setakat ini, manakala dari mereka yang tinggal di Kampung Emperoh Jambu adalah sebanyak 60 kes.

“Apabila angka kes semakin bertambah tinggi maka situasi ini harus dikawal dan ini dilakukan untuk mengurangkan jangkitan demi kebaikan penduduk di sini,” tegasnya.

“Kerajaan mahu kesemua 60 individu tersebut kembali sihat dan tiada lagi jangkitan. Kita telah melihat di kawasan PKPD termasuk Kampung Haji Baki, Kampung Sebako dan Kampung Sungai Maong yang mana operasi berjalan lancar dalam mengekang jangkitan Covid-19,” maklumnya.

Ujarnya lagi, kerajaan tidak perlu menutup seluruh daerah atau bahagian ini tetapi hanya memfokuskan kawasan ini.

Turut hadir, Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar) merangkap Timbalan Pengerusi JPBN Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing.

Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ