Idea Tun Taib bangunkan S’wak

DATU Len Talif Salleh

SARIKEI: “Tiap-tiap sungai akan mengalir ke sungai yang besar”, begitulah pepatah daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak yang ke-4.

Justeru, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam, Datu Len Talif Salleh berkata, maksud pepatah itu adalah merujuk bahawa Sarawak mempunyai banyak kumpulan etnik yang mempunyai latar belakang budaya dan agama yang berbeza, tetapi mempunyai matlamat sama untuk membangunkan negeri ini.

Katanya, dalam hal yang demikian, Tun melihat betapa pentingnya kerjasama dan perpaduan antara semua rakyat untuk membangunkan negeri ini.

“Setelah Tun mengambil alih sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 26 Mac 1981, beliau telah merancang untuk membangunkan Sarawak.

“Tun mempunyai wawasan dan pandangan yang jauh mengenai ekonomi, sosial, politik dan sebagainya demi menyediakan landasan yang kukuh untuk membangunkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang maju di Malaysia menjelang 2030.

“Wawasan 2030 adalah cetusan idea oleh Tun semasa bermulanya ‘Politic Of Development’ ketika beliau menjadi Ketua Menteri,” katanya. 

Datu Len yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika ditemu bual Utusan Sarawak semalam. 

Katanya, setelah menjadi Ketua Menteri, Tun telah merangka polisi-polisi yang mempunyai impak jangka panjang.

“Pertamanya ialah ‘Politic Of Development’ yang mana tumpuan penekanan untuk membangunkan Sarawak dari segi pembangunan infrastruktur dan sebagainya.

“Beliau juga mencetuskan idea Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Pada 11 Februari 2008, SCORE ditubuhkan oleh beliau dan telah dilancarkan di Bintulu oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

“SCORE adalah ekonomi Sarawak yang dibangunkan dengan menggunakan tenaga hidro,” ujarnya. 

Mengimbau kembali kenangan manis bersama Tun, Datu Len berkata, beliau diberi penghormatan untuk memberi taklimat mengenai peranan industri perhutanan dan perkayuan semasa Tun melawat Pejabat Pebadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) pada 1981. 

“Kemudiannya, 20 tahun selepas itu, pada 2001, beliau melantik saya sebagai Pengurus Besar PUSAKA. 

“Selepas itu, dalam 2011, beliau menawarkan saya untuk menjadi calon wakil rakyat di Kuala Rajang,” katanya lagi.