Majikan perlu maklum JPBN

KUCHING: Golongan majikan perlu memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkenaan pekerja yang harus bekerja selepas jam 7.00 malam, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata perkara ini seharusnya dimaklumkan oleh pihak majikan dengan menyediakan surat pengesahan tentang waktu bekerja kakitangan mereka.

“Kemudian, berikan senarai nama mereka kepada jawatankuasa untuk dikecualikan daripada Kawalan Pergerakan selepas 7.00 malam. Itu tidak menjadi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam di mana semua operasi pasar raya, kedai kopi dan kedai serbaneka dihentikan pada jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi setiap hari hingga 31 Mac 2020.

Hal ini turut sekali gus akan mengawal pergerakan orang ramai yang tidak dibenarkan keluar rumah jika tidak mempunyai keperluan selepas 7.00 malam.

Pemberita sebelum itu bertanya, bagaimana dengan pekerja malam seperti yang bekerja di kilang percetakkan akhbar, adakan mereka dikecualikan.

Turut menjawab soalan tersebut, Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah berkata jika ada keperluan untuk bergerak selepas 7.00 malam, surat pemakluman perlu diberikan kepada pihak jawatankuasa.

“Kami akan memberikan pengecualian melalui satu surat yang akan menyatakan sebab-sebab keperluan anda untuk bergerak untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa yang berkawal. “Ini termasuklah golongan yang bekerja dalam sektor penghantaran stok makanan atau sayur-sayuran di pasar,” ujar Uggah.