Letak guru Tadika, Taska dalam kategori barisan hadapan

JAWAB MEDIA… Dato’ Sri Fatimah Abdullah menjawab soalan para wartawan pada sidang akhbar di Bangunan Baitulmakmur 2, Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO

KUCHING: Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) menggesa kerajaan supaya meletakkan guru Tadika dan Taska dalam kategori barisan hadapan sama seperti guru sekolah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, ini memandangkan guru Tadika dan Taska juga berisiko tinggi berdepan dengan jangkitan Covid-19 ketika berkhidmat.

“MPKAS memohon Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) agar memasukkan guru Tadika dan Taska di institusi awal pendidikan kanak-kanak (IAPKK) sebagai petugas barisan hadapan agar mereka ini boleh diberi keutamaan mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Guru-guru Tadika dan Taska sangat rapat dengan kanak-kanak dibawah jagaan mereka termasuk mengendong dan memberi mandi, justeru mereka ini perlu suntikan vaksin segera,” katanya pada sidang media Hasil Mesyuarat MPAKS bagi Tahun 2021 di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Beliau berkata, seramai 5,957 guru atau pengasuh, selain 3,945 pembantu yang bertugas menjaga 68,133 kanak-kanak di Tadika dan Taska seluruh negeri ini.

“Ini statistik yang kita rekodkan setakat 28 Februari 2021. Maka itu, kita harap JPBNS akan mempertimbangkan permohonan ini termasuk turut memasukkan pembantu di Tadika dan Taska sebagai barisan hadapan.

“Ia bagi memudahkan mereka juga mendapatkan suntikan vaksin demi keselamatan semua,” ujarnya sambil menambah, kerajaan kini sedang memberi suntikan vaksin kepada petugas barisan hadapan termasuk guru mengikut giliran.

Sementara itu, bagi memastikan modul pembelajaran kanak-kanak Tadika dan tidak ketinggalan berikutan pandemik Covid-19, Fatimah memberitahu kerajaan memberi perhatian kepada tiga aspek penting.

“Antara fokus utama ialah mengajar kemahiran yang tidak diajar tahun lalu, mengoptima masa pengajaran dalam kelas agar kanak-kanak lebih aktif dan memastikan persekiran pembelajaran yang selamat,” katanya.

Menurutnya, pendidikan awal kanak-kanak merupakan fasa yang amat penting dalam pembangunan setiap insan.

Oleh JEAKQLEYN YACHO