Hasil luahan, minta bantuan dalam laman sosial, Benong RM50 1kg laris dijual

SARIKEI: Seorang nelayan yang dikenali sebagai Jimy Sapong tidak menyangka luahan kerisauannya dan meminta bantuan dalam laman sosial, Facebooknya berhasil membantunya menjual semua ikan-ikan Benong yang dipukatnya pada Jumaat lalu.

Petang kelmarin, Jimy Sapong meluahkan kerisauannya berkenaan ikan-ikan Benong yang diperolehinya pada hari Jumaat lalu belum habis dijual memandangkan tiada tempat untuk menjual ikan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan sedang dilaksanakan.

“Datang dari laut hari Jumaat, nak berjual dekat mana?? Pasar minggu tak dapat berjual, restoran pun tak mahu terima ikan..minta perhatian dulu…pendapatan kami sekeluarga cuma ini..mana nak dapat duit untuk berbeli barang sepanjang kita dikuarantin ini..tolong bantu,” luahnya di hantaran Facebooknya sekitar jam 5.27 petang kelmarin.

Luahan dari Jimy telah mendapat perkongsian sebanyak 373 perkongsian (setakat berita ditulis) daripada netizen.

Keprihatinan dari netizen berkongsi luahan tersebut telah membantu Jimy dan akhirnya semua ikan-ikan Benong habis dijual dihalaman rumahnya bertempat di Jalan Syariff Mashor malam kelmarin.

Dihantaran Facebooknya yang lain, Jimy mengucapkan terima kasih kepada netizen yang membantunya mencari pembeli-pembeli ikan-ikan Benong tersebut.

Difahamkan, harga pasaran untuk ikan Benong adalah RM50 sekilogram (kg).