Iqbal cemerlang di LHDN Sarawak

PARA penerima anugerah bersama dif-dif kenamaan

Sebut sahaja nama Iqbal Abdollah, ramai mengenali beliau sebagai salah seorang sukarelawan hebat di Bandaraya Miri. Tetapi ramai yang mungkin tidak tahu bahawa beliau juga merupakan seorang penjawat awam yang bertugas di Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Cawangan Miri.

Pada 9 Mac lalu, Iqbal melakar sejarah tersendiri apabila beliau menjadi salah seorang penerima Anugerah ‘Most Outstanding Hasilian‘ 2020. Beliau juga adalah satu-satunya penerima anugerah berkenaan dari Sarawak. Hanya lima orang penerima anugerah dipilih daripada 38 orang yang disenaraipendek (LHDNM mempunyai lebih 19,000 orang kakitangan secara keseluruhan).

Iqbal menerima anugerah berbentuk piala, sijil dan wang tunai RM1,000 yang disampaikan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa majlis sambutan Hari Hasil LHDNM Ke 25 di Cyberjaya.

Iqbal, 42, kini menjawat jawatan Eksekutif Hasil Kanan II di Cawangan Siasatan Miri dan telah memulakan kerjayanya sebagai penjawat awam 14 tahun yang lalu.

“Saya amat terkejut dan terharu apabila terpilih dan tidak menyangka dinobatkan sebagai penerima anugerah tertinggi dalam LHDN,” ujar beliau, “ia adalah satu penghargaan yang pasti mendorong saya untuk melakukan yang lebih baik di masa hadapan.”

Anugerah berkenaan, menurut Iqbal, adalah hasil kerja keras yang beliau lakukan sebelum ini dan beliau percaya kerja kesukarelawanan beliau turut menyumbang kepada pemilihan anugerah tersebut.

Selain pernah menjadi Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Iqbal adalah pengasas Future Ocean Borneo – sebuah perusahaan sosial yang tidak mengaut keuntungan – bagi usaha-usaha menjaga persekitaran marin Kepulauan Borneo. Beliau juga pengasas pasukan penyelam skuba Borneo Ghost Nets Hunter yang mencari dan mengeluarkan jaring-jaring hantu di lautan sekitar Borneo.

Beliau turut seringkali membawa isteri beliau Suziana Suhor dan anak-anak untuk melakukan pembersihan pantai sama ada dilakukan sendiri atau gotong royong yang dianjurkan organisasi lain. Semua ini adalah kerana rasa cinta beliau terhadap alam sekitar dan ia turut dipupuk sebagai aktiviti bersama keluarga.

Iqbal pernah dicalonkan oleh Datuk Bandar Miri Adam Yii dan seterusnya menerima Anugerah Datuk Bandar Miri 2018 bagi kategori Alam Sekitar (Individu). Dalam tahun yang sama, beliau telah dipaparkan dalam satu siri khas iaitu Nadi Serantau oleh Suria Media Corp Singapura bersempena Ulang Tahun ASEAN Ke 50.

Lebih menarik lagi, bapa kepada tiga orang puteri tersebut juga menawarkan khidmat sukarela sanitasi atau disinfeksi secara percuma di rumah ibadat seperti masjid, surau, gereja dan kuil sejak bermulanya pandemik COVID-19 tahun lalu.

Beliau juga adalah ahli Jawatankuasa Pengurusan Jenazah Masjid At Taqwa, Miri dan terkini, beliau telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pelawat Hospital Miri.

Apabila ditanya berkenaan faktor atau dorongan yang membolehkan beliau mampu mencapai kejayaan penganugerahan tersebut, Iqbal berkata, “secara peribadi, ianya adalah satu bentuk manifestasi bahawa segala amal dalam pelbagai bentuk jika dilakukan dengan hati yang ikhlas tanpa impikan sebarang imbuhan pasti akan dibalas oleh Tuhan. Ianya juga didorong dengan bantuan, sokongan pelbagai pihak, berkat usaha doa dan tawakal kepada Allah SWT, dan keluarga, ibu bapa, pihak media massa, rakan-rakan di dalam dan luar pejabat secara langsung atau tidak langsung.”

Kemampuan serta kejayaan Iqbal boleh dijadikan contoh atau inspirasi kepada penjawat awam lain terutama rakan-rakan sekerja yang baharu.

“Bekerja dengan ikhlas tanpa memikirkan bahawa pangkat dan kuasa adalah segalanya dalam hidup kerana di akhir hayat kita, bukanlah pangkat dan jawatan menjadi ukuran keberkatan Yang Maha Esa tetapi apa yang kita lakukan dalam hidup kita terhadap insan atau makhluk Allah yang lain. Seimbangkan kehidupan kita dengan usaha-usaha yang sebaiknya,” pesan beliau lagi, “untuk menjadi seorang pegawai yang terbaik, kita hendaklah juga melengkapkan diri dengan banyak ilmu yang relevan serta melaksanakan tugas dengan ikhlas dan berintergriti demi membangunkan negara.”

Oleh Sofie Sofian