Ribuan penduduk masih terperangkap

WALAUPUN Big Wet reda, ribuan penduduk masih terperangkap akibat banjir yang belum surut sepenuhnya di Australia.

WINDSOR: Ketika ribuan penduduk terperangkap menunggu banjir surut, pasukan penyelamat bertungkus- lumus menyalurkan bekalan kecemasan kepada warganya yang dilanda musibah banjir dalam keadaan sukar.

New South Wales yang memiliki populasi lapan juta penduduk antara wilayah paling padat di Australia terjejas teruk akibat ‘Big Wet’yang akhirnya reda.

Big Wet telah mengakibatkan ribuan rumah dan harta benda penduduk musnah ditenggelami air banjir dan menyebabkan banyak komuniti terperangkap dan sukar untuk dilalui bagi menghantar misi bantuan.

Pada masa sama, pasukan polis juga melaporkan kematian pertama akibat Big Wet.

“Kami menemui mayat seorang lelaki yang terperangkap di dalam keretanya di kawasan banjir di barat laut Sydney. Mangsa langsung tidak dikenali,” ujar pasukan polis.

Sejak banjir bermula minggu lalu, perkhidmatan kecemasan telah menerima lebih daripada 11,000 panggilan untuk meminta bantuan dan menyelamatkan sekurang-kurangnya 950 orang akibat banjir.

Bagaimanapun, fokus kini beralih kepada masalah pengangkutan untuk menghantar bantuan makanan, bekalan perubatan dan keperluan lain.

Salah seorang mangsa, Di Smith, 56 tahun selepas beberapa jam telah didiagnosis kanser perlu ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Beliau yang tinggal di sebuah ladang yang terletak di barat laut Sydney memelihara haiwan ternakan terperangkap ketika banjir melanda kawasan itu.

“Tiga jambatan dihanyutkan dan tanah runtuh menghalang jalan utama keluar. Terdapat ribuan penduduk terperangkap dan tidak dapat dihubungi,” ujar Smith kepada AFP

Bagaimanapun, Smith berjaya dibawa keluar oleh Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES).

“Saya benar-benar hilang tanpa mereka. Mereka semua sukarelawan, sungguh luar biasa,” ujarnya.

Sementara itu, Paderi John Rizzo, 60 sedang melakukan upacara sembahyang bagi pesakit jantung yang di tinggal di kawasan pergunungan sebelum terperangkap akibat banjir besar.

“Kerosakan itu mengerikan. Walaupun sungai tidak mempengaruhi apa-apa, tetapi limpah air dari gunung telah menyebabkan beberapa tanah runtuh dan menghalang laluan jalan.”
“Akhirnya hari ini (semalam) SES dapat membawa saya menyeberangi sungai,” ujarnya. -AFP