Keusahawanan berupaya jana pendapatan lumayan

RASMI… Datuk Mohd Naroden Majais merasmikan salah sebuah syarikat tempatan, Gigit Rangup Sdn Bhd di Metrocity, baru-baru ini.

KUCHING: Rakyat di Sarawak digalakkan untuk menceburi bidang keusahawanan.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais, bidang tersebut merupakan salah satu bidang yang memiliki potensi yang luas untuk dimajukan.

“Selain daripada mempunyai potensi yang luas untuk ditingkatkan, ia juga mampu membantu para usahawan untuk menjana pendapatan lumayan kepada golongan usahawan yang berjaya menerokai pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan rakyat khususnya golongan belia untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menzahirkan rasa bangga terhadap sebuah syarikat tempatan yang dikenali sebagai Gigit Rangup Sdn. Bhd. kerana telah berjaya mengusahakan perniagaan berdasarkan ekonomi digital selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri.

“Ini merupakan salah satu cara keusahawanan yang digalakkan oleh Kerajaan Negeri supaya usahawan muda menceburi bidang perniagaan secara digital dan e-dagang.

“Gigit Rangup Sdn. Bhd. telah berjaya membantu ejen atau stokis di bawahnya yang kebanyakan terdiri daripada suri rumah sepenuh masa dan ini seharusnya dijadikan contoh oleh para usahawan muda untuk menjadi usahawan yang berjaya,” ujarnya.

Oleh RYNNA SHA’ERRA