Satu jendela, pelbagai khidmat

KAUNTER Service Sarawak di Pusat Transformasi Bandar.

Bulan ini Pak Cik Aman mempunyai banyak bil untuk dilangsaikan.  Selain bil bulanan air, elektrik dan gas, bulan ini beliau perlu melangsaikan bayaran tahunan cukai pintu.

Destinasi beliau hari itu adalah ke pusat Service Sarawak, mengambil nombor giliran dan menunggu gilirannya tiba. Dalam tempoh kurang 15 minit, semua urusan dengan agensi-agensi berlainan ini sudah selesai.

Cepat, mudah dan efisien.  Itulah kelebihan Service Sarawak yang telah diperkenalkan di Kuching pada 1 Oktober 2018.  Melihat kepentingannya kepada rakyat negeri ini, maka Service Sarawak telah diperluaskan ke Sibu dan Miri pada 7 Oktober 2019.

“Sejak penubuhannya dua  tahun yang lepas, respons daripada orang awam adalah sangat menggalakkan. Ini terbukti daripada jumlah orang awam yang telah berurusan dengan Service Sarawak sudah mencecah seramai 825,908 orang sehingga 31 Disember 2020,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Datu Dr. Sabariah Putit.

Menurut beliau, rata-rata maklum balas yang diterima tentang Service Sarawak amatlah positif sama ada secara bersemuka, melalui survei atau media massa.

“Secara keseluruhannya, tahap kepuasan pelanggan adalah tinggi iaitu 97%. Ini jelas menunjukkan bahawa orang awam amat berpuas hati dengan inisiatif ini, “ tambah beliau.

Malah sejak  mula beroperasi dari tahun 2018 sehingga 31 Disember 2020, jumlah transaksi di Service Sarawak sudah melebihi 1.28 juta dengan jumlah kutipan melebihi RM1.3 bilion.

Setakat 31 Disember 2020, terdapat 10 Service Sarawak Kiosk di seluruh Sarawak setakat.  Lokasi-lokasinya  adalah di Kuching (2) dan masing-masing satu di  Sibu, Miri, AEON Shopping Mall, Kuching, Aiman Mall, Samarahan, Hotel Sri Simanggang, Sri Aman, Park City Mall, Bintulu, Emart Riam, Miri dan Limbang Plaza di Limbang.

Sementara itu, perkhidmatan yang ditawarkan di Kiosk Service Sarawak adalah

  • Pembayaran Bil
  • Bil Air (Kuching Waterboard, Sibu Waterboard, LAKU, & JBALB)
  • Bil Elektrik (SESCO)
  • Sarawak Gas
  • Cukai Pintu (26 Pihak Berkuasa Tempatan)
  • Membuat Semakan Sejarah Pembayaran Bil
  • Pengesahan Sarawak ID

Mengulas lanjut tentang Service Sarawak, Datuk Sabariah berkata Service Sarawak merupakan komitmen untuk mengubah Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) menjadi lebih efektif di dalam penyampaian perkhidmatannya dan untuk memudahkan transformasi Sarawak selaras dengan wawasan kepimpinan untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi, penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan akhirnya meningkatkan kualiti hidup rakyat untuk menjadi Negeri Bergerak Maju.

Malah ia juga merupakan satu lagi usaha transformasi di bawah Pelan Tindakan Transformasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan berorientasikan rakyat yang digerakkan oleh Kerajaan Sarawak sejak tahun 2010.

“Pelan Tindakan Transformasi SCS 10-20 ini bertujuan untuk menyediakan  platform yang berstruktur dan fokus di dalam mencapai visi “World Class Civil Service”,” kata beliau lagi.

Ia merupakan pelan komprehensif yang merangkumi lapan inisiatif utama iaitu Mengurus Perubahan Budaya, Pengurusan Bakat Sumber Manusia, Mengurus Keperluan Pelanggan, Inovasi & Kreativiti, e-Kerajaan, Kecemerlangan Penyampaian Program dan Projek, Transformasi Pengurusan Kewangan dan Pentadbiran Khas Perkhidmatan Perundangan Sarawak.

Pelaksanaan pelan transformasi ini nyata telah memberi impak yang tinggi dalam usaha untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam di negeri Sarawak. Banyak inisiatif transformasi telah dicapai dibawah Pelan Tindakan Transformasi 10-20 ini. 

Salah satu dari lapan inisiatif utama di dalam Pelan Transformasi ialah Mengurus Keperluan Pelanggan yang memberi penekanan kepada penyampaian perkhidmatan sektor awam yang berkonsepkan One Government at Your Service. Konsep ini berteraskan perkhidmatan sehenti dan bersepadu menerusi pelbagai saluran penyampaian iaitu “Single Window, Multiple Services through Multiple Channels”.

“Bagi merealisasikan konsep inilah maka Service Sarawak telah diwujudkan sebagai platform bagi memberi wajah baharu terhadap perkhidmatan barisan hadapan,” kata Datu Sabariah.

Setakat ini, sebanyak 34 agensi telah memperluaskan sebahagian  perkhidmatan mereka menggunakan platform Service Sarawak.

Agensi-agensi tersebut adalah 26 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Sarawak, enam agensi Pembekal Perkhidmatan Utiliti  seperti Sarawak Energy Berhad (SEB), Kuching Water Board (KWB), Sibu Water Board (SWB), Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Gas, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak.

Oleh HAINI DARANI