Tawaran kursus bidang masakan

CHEF Goh Ah Seng (dua, kiri) merakam kenangan bersama dengan tenaga pengajar kursus pengurusan makanan dan bidang kulinari.

KUCHING: Jika anda mempunyai impian untuk menjadi seorang tukang masak yang handal, kini ia bukan mimpi semata-mata bagi seseorang yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang masakan.

Menyedari dan memahami akan impian seperti ini yang terbit dalam sanubari segelintir masyarakat, Pengarah Urusan Restoran Hoi Tin Lau, Chef Goh Ah Seng, seorang tukang masak terkemuka di peringkat antarabangsa telah memperkenalkan sebuah kursus bidang masakan selama beberapa bulan dengan tempoh maksimum 800 jam.

Ketika ditemubual Utusan Sarawak di Restoran Hoi Tin Lau, Chef Goh mengambil peluang untuk menjelaskan mengenai program tersebut dengan lebih terperinci.

“Program ini mengandungi dua bahagian iaitu memberi fokus kepada pengurusan perniagaan dan juga kemahiran dalam bidang kulinari.

“Antara kursus yang ditawarkan bersangkut paut dengan bidang pengurusan perniagaan adalah seperti teori pengurusan, pengurusan acara, pengiraan kos, pembelian ramuan dan bahan-bahan masakan, pengurusan dapur dan sebagainya.

“Manakala, dalam kursus yang berkaitan dengan kemahiran-kemahiran dalam bidang kulinari yang ditawarkan adalah seperti teknik memasak, sos dan pemerapan, latihan dan teknik memotong serta pelbagai masakan Borneo,” katanya.

Mengulas lanjut, Chef Goh menyatakan bahawa pelajar yang telah menamatkan kursus dengan jayanya dicadangkan untuk memohon mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam sijil pengeluaran dan penyediaan makanan.

“Ini akan memberikan banyak kelebihan kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.

“Sekiranya mereka berminat untuk bekerja dalam bidang kulinari di luar negara, pihak kami boleh memperkenalkan mereka kepada beberapa restoran terkemuka di luar negara yang mereka pilih,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyatakan bahawa kursus yang ditawarkan tidak menetapkan had umur semasa memohon.

“Semua yang berminat untuk mempelajari bidang kulinari atau masakan adalah digalakkan untuk memohon tanpa mengira umur.

Selain itu, saya turut mengalu-alukan permohonan daripada semua tanpa mengira bangsa sama ada Cina, Melayu, Iban, Bidayuh dan sebagainya memandangkan ia memberi fokus kepada masakan Borneo,” jelasnya.

Katanya lagi, Restoran Hoi Tin Lau juga turut memperkenalkan tiga hidangan baru Borneo iaitu Ayam Panggang Serai, Udang Kari Terung Asam dan Bilin Ulam.

Sehubungan itu, sesiapa yang berminat untuk menyertai Kursus berkenaan boleh menghubungi beliau di talian 016-8893813 atau Sally di talian 082-433920 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Oleh JEAKQLEYN YACHO