Melepaskan ‘kerinduan’ kembali ke stadium…

LANGKAH kerajaan membenarkan penonton dan penyokong bola sepak di negara ini masuk ke stadium, sedikit sebanyak melepaskan ‘kerinduan’ melihat aksi pasukan masing-masing di depan mata sendiri.

Bagaimanapun, kemasukan penonton ke stadium berdasarkan kapasiti venue dan status terkini kawasan masing-masing menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Diberitakan, kebenaran kehadiran penonton mengikut status kawasan atau lokasi dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya dibenarkan 10 peratus atau maksimum 2,000 penonton sahaja.

Bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dibenarkan lebih ramai penonton iaitu 25 peratus kapasiti stadium dengan maksimum kehadiran adalah 8,000 penonton.

Kebenaran ini akan berkuatkuasa 1 April depan dengan dua perlawanan dalam Liga Malaysia akan dibenarkan dahulu sebagai percubaan bagi menilai keberkesanan protokol penonton.

Malah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan terutamanya membabitkan aspek pergerakan serta penguraian semasa perlawanan berlangsung nanti.

Antara standard operasi prosedur (SOP) perlu dipatuhi adalah tiket hanya dijual secara atas talian serta jarak antara penonton adalah 1.5 hingga dua meter sekali gus perlu dipatuhi oleh setiap penonton nanti.

Untuk jualan membabitkan makanan dan barangan hanya dibenarkan dalam stadium sahaja.

Manakala Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu golongan warga emas dan kanak-kanak adalah tidak digalakkan hadir ke stadium.

Menurut beliau, pihaknya tidak pernah menghalang kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19 menonton perlawanan di stadium, malah tiada undang-undang melarang warga emas dan kanak-kanak berbuat demikian.

“Ada macam-macam yang akan diperhalusi antaranya penjualan tiket yang mesti dilakukan secara dalam talian, dari segi perniagaan trak makanan juga masih ada SOP perlu dipatuhi termasuk juga soal kehadiran kanak-kanak.

“Kanak-kanak tidak digalakkan pergi walaupun tiada undang-undang yang boleh menghalang mereka untuk pergi, sama seperti untuk golongan 60 tahun ke atas. Ini kumpulan dianggap yang mudah (dijangkiti) dan terdedah,” ujarnya.

Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras menjadi dua venue terawal yang bakal menerima semula kehadiran penonton masing-masing pada 2 dan 3 April ini apabila saingan Liga-M kembali bersambung selepas jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hujung bulan ini.

Kedua-dua stadium itu yang merupakan gelanggang tuan rumah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC dipilih menjadi projek perintis menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.

Reezal Merican berharap penyokong dapat mematuhi SOP ditetapkan dan menjaga tingkah laku semasa berada di stadium supaya protokol pengurusan penonton dapat dibuktikan keberkesanannya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). 

“POC (bukti konsep) ini amat penting. Jika saya seorang bercakap untuk menyakinkan kerajaan tidak cukup, saya minta juga sokongan daripada kalangan peminat sukan dalam usaha KBS menyemarakkan kembali kerancakan penonton ke stadium.

“Kalau mereka (penonton) gagal menunjukkan testimoni yang menyakinkan, barangkali ia tidak akan menjadi realiti untuk perlawanan berikutnya,” jelas beliau.

Kali terakhir perlawanan Liga Malaysia berlangsung dengan kehadiran penonton di stadium ialah pada 11 Mac 2020.

Lantas, semoga dengan kehadiran penyokong yang kembali memenuhi stadium selepas ini mampu menaikkan ‘kantung’ persatuan dan kelab pasukan dalam Liga Malaysia hasil daripada jualan tiket perlawnan apatah lagi selepas setahun menjana pengurusan tanpa kewangan kukuh.

Bagi penyokong bola sepak seluruh Bumi Kenyalang, kita mengharapkan agar kedua-dua pasukan iaitu Sarawak United FC dan Kuching City FC akan dapat dapat beraksi di lubuk sendiri pada saingan mendatang nanti.

Perlawanan seterusnya membabitkan Kuching City ialah pada 2 April depan apabila turun berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menentang tuan rumah, Negeri Sembilan FC manakala Sarawak United FC bertandang ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu berhadapan Kelantan FC keesokkan harinya (3 April).