Peserta pilihan dominasi Wai Kru, Muay Boran 2020

MANTAP…Gandingan adik-beradik Abdul Hakim Aniq Baharom, Nur Afiqah Musfirah Baharom, Nur Arifah Mahsunah Baharom dan Mohd. Irfan Ajmal Baharom yang mencuri tumpuan.

FAIZAL BUJANG

PERTANDINGAN Wai Kru dan Muay Boran Remaja Tertutup Sarawak 2020 yang dijalankan secara dalam talian berakhir hujung minggu lalu.

Ia sekali gus menyaksikan penguasaan hebat peserta pilihan setiap kategori yang dipertandingkan.

Apa yang jelas, penampilan Mohd. Iqbal Mohd. Iskandar (Kelab Muaythai Sting Kuching) berjaya muncul juara kategori Wai Kru Lelaki.

Tempat kedua milik Ayu Arash Aqasha Karim (Kelab Muaythai Kenyalang, Kuching) sambil pasangan adik beradik iaitu Mohamad Pirdaus Mood dan Mohamad Hasbullah Mood (Kota Samarahan) yang tewas di peringkat separuh akhir menduduki tempat ketiga bersama.

Kategori wanita pula tidak kurang hebatnya, dengan juara milik Afiqah Baharom (Kota Samarahan) dan Nur Arifah Mahsunah (Kota Samarahan) menduduki tempat kedua.

Sementara tempat ketiga menjadi milik Nurfasihah Jafari (Kelab Muaythai Sting, Kuching).

Bagi kategori Muay Baron Remaja Lelaki, juara menjadi milik pasangan Mohd. Irfan Ajmal Baharom dan Abdul Hakim Aniq Baharom (Persatuan Muaythai UiTM Samarahan).

Tempat kedua pula milik pasangan Iqmal Shah dan Mohd. Hasbullah.

Dalam pada itu, kategori kanak-kanak turut dipertandingkan dengan juara milik pasangan Damian dan Dylan (Kelab Muaythai D30, Miri).

Pasangan Muhd. Azib Faturrahman dan Mohd. Fahrin Adam (Kota Samarahan) menduduki tempat kedua.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim memberitahu, pertandingan itu berlangsung dari 15 hingga 25 April.

“Pertandingan dianjurkan ini bertujuan untuk menggalak amalan gaya hidup sihat di kalangan belia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Yang pasti inisiatif yang diperkenalkan ini agak berbeza kerana saingan berlangsung secara atas talian,” ujar beliau.

Terdahulu beliau turut mengucap syabas kepada semua peserta yang berjaya serta semua pihak terlibat yang telah memberi kerjasama erat dalam menjayakan pertandingan itu.