Keju kerbau halal pertama Malaysia dari Lawas?

KPLB BANTU… Datuk Dr Abdul Latif Ahmad kelihatan menerangkan bantuan KPLB kepada usahawan desa di Lawas kepada Awang Tengah sambil disaksikan Henry Sum, Dr Abdul Rahman dan kenamaan yang lain.

LAWAS: Daerah Lawas akan menjadi pengeluar keju kerbau halal pertama bagi negara apabila projek ini mula dilaksana di Stesyen Ternakan Kerbau Meragang Lawas dalam tempoh terdekat.

Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar(KPLB) Malaysia, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad menjelaskan bahawa projek ini melibatkan kerjasama KPLB bersama NRDA dan Jabatan Pertanian Sarawak akan dilaksana oleh pihak pelabur dari semenanjung Malaysia.

Selain itu, beliau mendedahkan KPLB turut menyalurkan setengah daripada peruntukan kementerian untuk menyediakan bekalan elektrik luar bandar dan bekalan air luar bandar selain jalan perhubungan desa.

Ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan agihan sama rata kepada Wilayah Sabah, Wilayah Sarawak dan Semenanjung.

Malahan pendekatan ini juga adalah kerana KPLB ingin memastikan jurang pembangunan antara wilayah ini dapat dikurangkan.

Dr Abdul Latif menyatakan demikian pada program Malaysia Perihatin Pemimpin Bersama Rakyat di Hotel Seri Malaysia Lawas, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri KPLB, Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan pengarah-pengarah agensi di bawah KPLB.

Seterusnya, KPLB yang diterajui Dr Abdul Latif turut meluluskan peruntukan RM112 juta bagi pembinaan jalan menghubungkan Kampung Murud Suang ke Long Tengoa beserta empat jambatan menghubungkan Sungai Trusan.

Pada masa sama, peruntukan RM140 juta pula untuk pembinaan Maktab Rendah Sains MARA(MRSM) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari.

Sejumlah RM150 juga lagi diperuntukkan untuk pembinaan jalan perhubungan desa bagi Wilayah Sarawak yang mana merupakan peruntukan lebih besar berbanding tahun lepas.

Menteri KPLB itu turut memaklumkan bahawa semua projek ini akan segera dilaksana secara reka dan bina kerana peruntukan untuk semua projek ini telahpun tersedia.

KPLB komited dalam usahanya untuk mengangkat usahawan desa melalui berbagai program dan bantuan dibawah agensinya.

Semua ini adalah sebagai komitmen kerajaan persekutuan dalam membangunkan wilayah Sarawak dan membela rakyatnya secara sama seperti yang dinikmati rakan di semenanjung(Malaya).

Oleh ADENG EDRUS