MEDAN PEMAIN BERBAKAT

RASMI…Harden melakukan sepak mula Liga Bola sepak SSC-FAS bagi Zon Tengah Sarawak antara Sri Aman FA menentang Kapit FA, kelmarin.

INISIATIF penganjuran Liga Bola sepak SSC-FAS Bawah 25 tahun dilihat menjadi landasan terbaik kepada peningkatan serta perkembangan bola sepak di negeri ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Datuk Francis Harden Hollis berkata, dalam masa yang sama ia mampu menjadi medan terbaik ke arah melahirkan ramai pemain muda berbakat yang menyertai kejohanan yang telah disingkap tirainya pada 20 Mac lalu.

“Apa yang kita harapkan, dengan usaha mengelolakan kejohanan ini (Liga Bola sepak SSC-FAS Bawah 25 tahun) bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pemain muda di seluruh negeri mengetengahkan bakat masing-masing.

“Malah, ia dapat menyaksikan kemunculan lebih ramai pemain berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya semasa melakukan sepak mula Liga Bola sepak SSC-FAS bagi Zon Tengah Sarawak, kelmarin.

Harden yang juga Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, adalah menjadi harapan besar agar penganjuran tersebut dapat menyumbang kepada pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

Dengan erti kata lain, Harden percaya adanya liga seumpama itu dapat memastikan Sarawak tidak akan ketandusan bakat pemain pelapis sekali gus mampu menampung keperluan kepada badan induk Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam menghadapi setiap kejohanan diperingkat lebih tinggi.

Harden turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Sarawak serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dengan kerjasama terbentuk berjaya merealisasikan penganjuran Liga Bola sepak SSC-FAS Bawah 25 tahun musim ini.

“Wujudnya kerjasama ini secara tidak langsung menjadi landasan terbaik meningkatkan pembangunan sukan bola sepak di negeri ini. Bukti yang cukup jelas dengan adanya pembabitan ramai pemain muda dari seluruh bahagian menyertai liga ini.

“Ia sekali gus memberi ruang kepada FAS sebagai badan induk untuk mengenal pasti bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Harden sekali lagi menaruh harapan tinggi kepada skuad Sri Aman menempa kejayaan dengan membawa pulang Piala Liga SSC/FAS pada musim ini.

“Saya berharap skuad muda bawah 25 tahun pada musim ini akan menjulang nama Sri Aman, dengan membawa pulang kejayaan yang paling dinanti-nantikan oleh penduduk di sini setelah sekian lama.

“Dengan pengurusan terbaik serta pemain yang diamanahkan oleh FASA pada kali ini, saya percaya hasrat untuk merealisasikan impian itu tidak mustahil akan jadi kenyataan pada musim ini,” jelasnya.

Sementara itu, terdapat 11 pasukan yang terlibat dalam liga ini yang dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Selatan melibatkan Kuching, Serian, Samarahan dan pasukan Piala Presiden Sarawak United FC II.

Zon Tengah pula terdiri daripada Sibu, Sarikei, Sri Aman dan Kapit manakala Zon Utara melibatkan Miri, Mukah dan Bintulu.

Turut menyaksikan perlawanan tersebut iaitu Pengarah Teknikal FAS, David Usop dan Setiausaha Kehormat FASA, Alfred Kendim.

Oleh ADI SAFARMAN