SARAWAK KAJI TAHAP 23 KESELAMATAN SEMPADAN

PENGHARGAAN… Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima cenderamata daripada Datuk Malcom Mussen Lamoh (dua, kiri) pada majlis makan tengah hari bersempena dengan lawatan kerja Ketua Menteri ke Lubok Antu, semalam.

LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan kajian terperinci mengenai tahap keselamatan di kawasan sempadan Lubok Antu dan Kalimantan Barat, Indonesia.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kajian ini dilaksana bagi menyelesai isu jalan tikus (jalan tidak sah) yang wujud di kawasan sempadan di sini.

“Kerajaan telah membina Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada 2012 dengan kos RM13 juta bagi mewujudkan aktiviti rentas sempadan yang sah antara penduduk dari kedua-dua negara.

“Walaupun Kompleks ICQS sudah dibina di sini, namun saya percaya masih ada penduduk dari kedua-dua negara menggunakan laluan tikus untuk tujuan rentas sempadan sehingga sekarang,” ujarnya.

Abang Johari ketika sidang media pada majlis makan tengah hari sempena lawatan kerja beliau di sini semalam berkata, kewujudan jalan tikus ini menjejaskan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan warganegara asing.

Selain itu, beliau juga memberitahu kewujudan operasi ladang sawit di kawasan sempadan di sini turut menyumbang kepada aktiviti rentas sempadan secara tidak sah dalam kalangan penduduk.

“Malah, saya melihat adalah sangat mudah untuk penduduk dari kedua-dua negara menggunakan ‘pintu’ tidak sah untuk rentas sempadan termasuk yang terdapat di kawasan sempadan.

“Justeru, kita akan melakukan kajian terperinci mengenai isu laluan tidak sah yang terdapat di kawasan sempadan di sini dengan sebaik mungkin.

“Cuma kini kita masih belum boleh mendedahkan sebarang keputusan berhubung kajian ini kepada anda  (media) sehingga ia selesai dilakukan kelak,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Semion, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Malcom Mussen Lamoh dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang.

Terdahulu, Ketua Menteri pada majlis itu mengumumkan penyediaan kemudahan lampu jalan sejauh 7.5 kilometer dipercayai menelan anggaran kos RM3 juta yang menghubungkan kawasan Pekan Lubok Antu hingga ke Kompleks ICQS di sini.

Beliau sebelum itu juga melakukan lawatan ke Kompleks ICQS berkenaan dan meninjau perkembangan Projek Tebingan Lubok Antu di sini.

Oleh VALENTINE NGUMBANG