Percepatkan pelaksanaan projek di Batang Ai

SERIUS… Datuk Malcom Mussen Lamoh sedang menyampaikan ucapannya pada Majlis Makan Tengahari bersempena Program Lawatan Kerja Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan di sini semalam.

LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak perlu mempercepat pelaksanaan lima projek pembangunan untuk kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Malcom Mussen Lamoh berkata dua daripada lima projek itu adalah penyambungan Jalan Nanga Kesit-Ulu Engkari/Jalan Lemanak (Fasa II dan III)  serta pembinaan Jalan Ulu Batang Ai sejauh 25 kilometer bernilai RM187 juta.

“Projek ketiga pula adalah penyambungan paip bekalan air terawat (Fasa II) untuk kawasan Daerah Lubok Antu yang menelan kos sebanyak RM117.8 juta.

“Manakala dua lagi projek adalah Projek Kuasa Solar Terapung di Empangan Hidro Batang Ai dan pembinaan Loji Perawatan Air Engkilili baharu bernilai RM220 juta dengan kapasiti pengeluaran air sebanyak 75 juta liter sehari (MLD),”kata beliau.

Mussen yang juga ADUN Batang Ai berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Tengahari bersempena Program Lawatan Kerja Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan di sini semalam.

Malah menerusi majlis itu, beliau juga memohon Kerajaan Sarawak untuk memberi penekanan terhadap beberapa isu termasuk Projek Rakyat yang terdapat di kawasan DUN Batang Ai ketika ini.

Antara isu itu, katanya adalah penukaran status tanah yang dibangunkan oleh SALCRA di kawasan Skim Penempatan Semula Batang Ai dan isu talian perkhidmatan telekomunikasi.

“Isu kekerapan gangguan bekalan elektrik disebabkan oleh faktor talian grid melebihi 30 tahun di samping memohon dana tambahan untuk membesarkan Projek  Tebingan Lubok Antu yang melibatkan pembinaan dua jambatan gantung merentangi sungai di situ.

“Justeru saya memohon kepada Kerajaan Sarawak agar dapat memberi perhatian terhadap isu dan perlaksanaan projek pembangunan di sini demi kebaikan penduduk DUN Batang Ai pada masa akan datang,”kata Mussen.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Semion dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang.

Terdahulu Ketua Menteri telah mengumumkan penyediaan kemudahan lampu jalan sejauh 7.5 kilometer dipercayai menelan anggaran kos sebanyak RM3 juta yang menghubungkan kawasan Pekan Lubok Antu hingga ke Kompleks ICQS di sini.

Beliau sebelum itu juga melakukan lawatan terhadap Kompleks ICQS berkenaan di samping meninjau perkembangan Projek Tebingan Lubok Antu.

Oleh VALENTINE NGUMBANG