RTP Semop utamakan projek jalan kampung

SIMBOLIK… Abdullah Saidol menyaksikan simbolik penyerahan tapak Projek Siap Jalan RTP oleh Mohd Nurkhalis daripada JKR kepada Pemanca Bujang dari Kampung Bruit.

PULAU BRUIT: Empat lagi projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM940,000 dari peruntukan negeri telah siap dilaksanakan di empat buah kampung di Pulau Bruit.

Turut serta bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol dalam lawatan kerja ini ialah para pegawai dari Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengaliran dan Saliran (DID), pemanca dan pemimpin-pemimpin kampung.

Menurut Abdullah, empat projek ini sebenarnya adalah sebahagian dari 33 projek RTP yang dicadangkan pada tahun 2019 untuk dilaksanakan dalam kawasan DUN  Semop pada tahun 2020.

“Tetapi ancaman pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membantut jadual kerja dan menyebabkan kelewatan sebahagian besar perlaksanaan projek-projek tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita untuk mengulas lawatan kerja tersebut, semalam.

Antara projek siap yang diserahkan pada semalam (Selasa) ialah bina baharu jambatan Kampung Laut Penipah bernilai RM270,000 dan naik taraf Jalan Sesco, Kampung Bruit bernilai RM250,000.

Abdullah yang juga merupakan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) turut menjalankan lawatan kerja ke sepuluh  tapak projek RTP baru di Pulau Bruit.

“Sepuluh tapak projek RTP menggunakan peruntukan negeri akan dilaksanakan dalam masa terdekat di 10 buah kampung di Pulau Bruit yang melibatkan peruntukan sebanyak lebih kurang RM3.1 juta.

“Tujuan lawatan kerja ke tapak-tapak cadangan projek RTP ialah untuk membuat penilaian teknikal dan perjumpaan dengan ketua-ketua masyarakat di kampung berkaitan supaya projek itu dilaksanakan benar-benar mengikut keperluan komuniti kampung.

“Sepuluh projek yang akan dilaksanakan ini nanti adalah sebahagian dari 18 projek RTP yang telah diserahkan kepada Pejabat Residen pada tahun 2020 untuk dilaksanakan pada tahun ini (2021),” ujarnya.

Antara sepuluh projek baharu yang akan dilaksanakan ialah projek naik taraf jalan dalam Kampung Hulu Semop bernilai RM450,000, naik taraf jalan dalam Kampung Betanak bernilai RM550,000 dan bina jambatan dan jalan kubur Kampung Tekajong bernilai lebih kurang RM450,000.

Ujarnya, memandangkan projek jalan utama di utara Pulau Bruit yang menempatkan tujuh perkampungan telah di tar, sebahagian besar penduduk yang berkenderaan mengharapkan supaya jalan dalam kampung dapat dinaik taraf supaya kenderaan mereka dapat masuk kampung dengan selesa dan selamat.

“Justeru, sebahagian besar peruntukan RTP sejak 3 tahun yang lepas digunakan untuk menaik taraf atau membina baru banyak jalan perhubungan dalam kampung dan rumah panjang dalam DUN Semop.

“Peruntukan RTP juga digunakan untuk  membaiki rumah ibadah dan menaik taraf kemudahan lain seperti dewan dan jeti awam,” katanya lagi.

Semasa lawatan kerja ini, Abdullah turut menerima beberapa permohonan baharu dari para pemimpin kampung untuk beberapa projek kecil dalam kampung seperti baiki peparitan, medan letak kereta dan pembinaan baru jambatan kecil dalam kampung.

Abdullah juga mengambil kesempatan untuk memberi penghargaan kepada agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, JKR dan DID sama ada di peringkat daerah atau bahagian yang sentiasa memberi kerjasama dan kesungguhan.

Katanya, ada sebahagian besar para pegawai terbabit terpaksa turun kerja pada hujung minggu untuk mempastikan pelbagai projek terutama di luar bandar yang dipohon wakil rakyat dapat dilaksanakan dengan segera.

Oleh EARL ANEK