Usaha maksimumkan pembangunan luar bandar

UNTUK ALBUM… Datu Len Talif Saleh (enam, kiri) dan Ir. Yusuf Abd Wahab (lima kanan) bergambar bersama penerima Surat Tawaran Dan Tol Skim Pembesaran Kampung Selalang Baru bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Selalang, pagi semalam.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak menerusi pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa berusaha memaksimumkan pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar demi untuk kepentingan negeri, demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, oleh sebab itu, Ketua Menteri sentiasa berusaha untuk mencari jalan untuk mendapatkan pendapatan yang lebih kepada 

Sarawak bagi merealisasikan usaha Kerajaan Sarawak untuk melipat gandakan pembangunan di kawasan luar bandar.

“Kita dapat lihat pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang telah diluluskan dan sedang dilaksana oleh Kerajaan Sarawak.

“Sebagai contoh kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir, implementasi Projek Jalan Utama Kedua, jambatan-jambatan yang sudah dibina atau dalam pelaksanaan, Skim Penempatan Semula (SPS), Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan lain-lain,” katanya.

Datu Len yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dan Tol Skim Pembesaran Kampung Selalang Baru, bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Selalang, pagi semalam.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak melaksanakan projek SPS dan SPK bagi menyediakan lot-lot kediaman yang lebih selesa, terancang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air serta bekalan elektrik.

“Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan dasar baharu iaitu penambahbaikan terhadap spesifikasi dan komponen intrastruktur asas di skim-skim baharu SPS dan SPK yang akan dilaksanakan.

“Projek SPS dan SPK ini lebih tersusun dengan menggunakan pendekatan baharu seperti penambahbaikan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya yang dahulunya hanya jalan batu, kini dinaik taraf kepada jalan berturap.

“Turut ditambahbaik ialah lot-lot yang dahulunya diagihkan tanpa ditimbus atau ditembok akan ditimbus dan sistem perparitan di dalam skim yang dahulunya hanya parit tanah telah ditambah baik dengan parit konkrit,” ujarnya.

Tambahnya, semua kos tembok, jalan bertar, parit konkrit ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak lebih kurang RM100,000 per lot.

“Satu lagi inisiatif baharu Kerajaan Sarawak dalam SPS dan SPK adalah mengurangkan kadar premium sebanyak 50 peratus bagi lot kediaman disemua SPS dan SPK adalah tidak melebih RM2,500 selot.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah yang terlibat dalam skim-skim berkenaan untuk menyelesaikan pembayaran premium,” katanya lagi.

Turut hadir, Ahli Parlimen P.206 Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab, Penguasa Tanah Dan Survei Bahagian Sarikei, Thian Choon Kui, Timbalan Residen Sarikei, Abang Mohd Porkan Abang Budiman dan Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau Unting.

Oleh EARL ANEK