RM223 juta bangunkan 13 projek bekalan air berimpak tinggi

DR. Abdul Rahman Junaidi ketika menjalankan lawatan ke Tapak Projek Bekalan Air Bahagian Serian, semalam.

SERIAN: Sebanyak 13 projek bekalan air berimpak tinggi dibangunkan di Bahagian Serian sejak 2018 yang keseluruhannya bernilai RM223 juta.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia melibatkan pembangunan 10 projek bernilai RM106 juta di bawah Kerajaan Sarawak.

Menurutnya, tiga lagi projek yang bernilai RM120 juta dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan amat komited dalam menyediakan infrastruktur bekalan air bersih untuk penduduk Serian.

“Ia melibatkan pelaksanaan pelbagai projek yang telah dilaksanakan sejak tiga tahun lepas,” katanya selepas melawat Tapak Projek Bekalan Air Bahagian Serian, semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, setakat Mac ini, sebanyak lapan projek telah siap manakala baki lima projek berada dalam pelbagai peringkat pembangunan.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Kampung Plaman Nyabet, Kampung Taee, Kampung Bantang, Kampung Kakeng, Kampung Cina, Kampung Pasir, Serian Bazaar, Kampung Hulu, Taman Pasir, Taman Cosy dan Baki Old Bazaar,” ujarnya.

Menurutnya, empat lagi Projek Rakyat berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan melibatkan stesen pam penggalak di Kampung Entayan Kropok, bekalan air Jalan Ensengei, naiktaraf Loji Rawatan Air Serian dan pembangunan projek perintis pengurangan kadar ketidakberhasilan air yang tinggi di Serian.

Tambahnya lagi, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasan Mentong Merau/Mongkos masih berada dalam peringkat pembinaan yang dibiayai KPLB.

“Apabila siap nanti projek yang menelan belanja RM112 juta ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 5,100 isi rumah,” jelasnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben, ADUN Bukit Semuja John Ilus dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Chang Kuet Shian.