TransKoM transformasi kepada gerakan koperasi

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) bergambar dengan buku Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) yang dilancarkan, semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Transformasi secara menyeluruh perlu dilakukan terhadap gerakan koperasi di negara ini bagi memperkasa dan memantapkan peranannya supaya terus mampan dalam menghadapi cabaran abad ke-21, sekali gus seiring dengan zaman digitalisasi.

Justeru, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi membangunkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 adalah tepat bagi menjadi paksi transformasi kepada gerakan koperasi itu.

“Saya yakin pelan ini akan menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing.

“Ia seterusnya akan menjamin kelangsungan sektor koperasi negara sebagai penyumbang terbesar kepada peningkatan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan TransKoM 2021-2025 di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pelan itu menggariskan lima bidang tujahan iaitu penerapan nilai kemakmuran bersama, pemantapan sistem perundangan dan struktur governan, pengukuhan bakat dan pembangunan modal insan, pembentukan persekitaran perniagaan mampan dan lestari serta pemerkasaan badan induk dan sistem penyampaian koperasi.

Muhyiddin berkata, pelan itu turut meletakkan 20 langkah strategik dan 36 program serta aktiviti yang akan menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terlibat dalam pembangunan sektor koperasi terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, Angkasa serta gerakan koperasi agar memberi kerjasama dan komitmen padu kepada kementerian dalam melaksana transformasi melalui pelan itu.

“Saya mahu kesemua 14,668 koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia aktif dalam perniagaan koperasi untuk sama-sama meningkatkan prestasi ekonomi negara. Koperasi yang tidak aktif dan dorman harus bangkit dan bersama-sama menjadi ejen transformasi koperasi negara,” katanya.