KKMG santuni penduduk setempat

BERAMAH MESRA… Chai Chang Yeah ketika memberi taklimat ringkas kepada pelajar lepasan SPM 2020 di Kampung Tringgus, Bau.

KOLEJ Komuniti Mas Gading (KKMG) telah mengadakan Program Gerak Gempur Pengambilan Pelajar Baharu dengan menyantuni penduduk setempat untuk mempromosikan kolej dengan menjelajah segenap pelusuk kampung di kawasan Daerah Bau, Lundu, Kuching dan Padawan yang melibatkan semua pensyarah KKMG turun padang bagi menjayakan program tersebut.

Program seumpama ini telah dilakukan selama dua hari dengan penglibatan aktif semua warga kerja KKMG.

Menurut Pengarah KKMG, program seumpama ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan kolej dengan lebih dekat kepada masyarakat setempat dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat ekoran pandemik Covid-19.

Modus operandi program ini adalah dengan bertemu dan bersemuka dengan ketua–ketua kampung/penghulu serta orang-orang berpengaruh di kawasan sasaran dengan menghebahkan berkaitan dengan kursus-kursus yang ditawarkan di KKMG di samping berbincang untuk melaksanakan program kursus-kursus pendek yang mereka kehendaki di kawasan tersebut, ujar beliau lagi.

Pengedaran risalah – risalah dari rumah ke rumah, melekatkan risalah di kawasan tumpuan orang ramai seperti di balai raya,rumah ibadat, gerai-gerai di kampung serta minta ketua-ketua kampung uar-uarkan kemasukan ke KKMG kepada penduduk setempat turut diadakan juga.

Sementara itu, satu ceramah khas juga telah disampaikan Pegawai Pengambilan Pelajar KKMG, Adi Amin Sarkawi Sarie dengan peserta kursus anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).