DBKU perkenal Pagi Tanpa Kenderaan

DR. Abdul Rahman Junaidi menghadiri Pagi Tanpa Kenderaan 2021 di Padang Merdeka yang merupakan program bulanan anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Kuching, semalam.

KUCHING: Orang ramai berpeluang menjalankan aktiviti riadah bersama keluarga seperti berbasikal atau berjoging tanpa perlu risau dengan keselamatan di jalan raya.

Bermula 4 April, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memperkenalkan Pagi Tanpa Kenderaan atau Car Free Morning 2021.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program itu diadakan pada hari Ahad, minggu pertama setiap bulan di Padang Merdeka.

Menurutnya, sepanjang program berlangsung, beberapa jalan utama menuju ke Padang Merdeka ditutup dari jam 6.00 hingga 10.00 pagi bagi menyediakan persekitaran selamat untuk aktiviti masyarakat.

“Objektif program ini untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon dan kesesakan lalulintas.

“Program juga diadakan untuk mempromosi gaya hidup sihat, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan menyediakan ruang untuk aktiviti masyarakat,” katanya.

Program yang pertama kali diadakan itu turut dihadiri Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani dan Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak Dato’ Benjamin Hasbie.

Oleh JEAKQLEYN YACHO