Sentiasa santuni masyarakat

KHIRUDIN menerangkan kepentingan tindakan pada peringkat awal semasa kejadian kebakaran kepada tuai rumah semasa menghantar alat pemadam api semalam.

BINTULU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan sentiasa menyantuni masyarakat di luar bandar menerusi program terutamanya di kawasan hulu.

Pengarahnya, Khirudin Drahman berkata, aktiviti yang dilakukan bersama komuniti adalah bukti komitmen bomba terhadap keselamatan masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Hari ini, saya bersama ketua zon dan ketua balai di bahagian ini serta pembantu sukarelawan telah menyantuni masyarakat penduduk rumah panjang sepanjang Sungai Sebauh ini untuk mengagihkan alat pemadam api sebagai tanda komitmen jabatan bomba.

“Ini kerana perlindungan kebakaran bukan sahaja disampaikan di peringkat bandar atau bahagian,tetapi juga di kawasan hulu sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas aktiviti pengagihan alat pemadam api ke lapan rumah di Sebauh di sini,semalam.

Selain itu, tambahnya, aktiviti tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang sentiasa menyokong usaha bomba selama ini.

“Setakat hari ini, apa yang kita buat adalah sokongan daripada masyarakat dan juga pihak media kerana kita perlu berganding bahu dalam hal ini yang mana media akan menyalurkan maklumat ini supaya masyarakat faham bahawa apa yang kita buat ini melangkaui sempadan agama, daerah, kefahaman politik dan sebagai,” ujarnya.

Beliau turut memohon kerjasama daripada semua pihak kerana keselamatan kebakaran melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Maknanya, apabila kita sebut bahaya kebakaran, ia secara langsung melibatkan semua orang dengan merangkumi semua masyarakat.

“Jadi, pada hari ini, kita terjemahkan menerusi program ini yang mana saya sebagai Pengarah JBPM Sarawak bersama Ketua Zon Bintulu turun padang bagi menyantuni mereka walaupun pada hari cuti,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai kejadian kebakaran melibatkan rumah panjang, beliau menjelaskan, enam rumah panjang daripada 16 kes kebakaran pada 2020 berjaya diselamatkan kerana langkah proaktif penduduk rumah panjang pada peringkat awal kejadian kebakaran.

“Ini boleh berlaku kerana mereka dapat memadam api pada peringkat awal setelah mengikuti program komuniti bersama pihak bomba,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu,Wan Kamarudin Wan Ahmad; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Christus Buson; Pegawai Operasi BBP Bintulu, Hambali Mohamad.

Oleh CAROLYNE UTIH