Raja Perlis rasmi Program Transformasi Kampung

KENANGAN… Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersama keluarga Diraja berkenan bergambar kenangan bersama kanak-kanak dari Kampung Seberang Ramai ketika mengadakan lawatan ke Kampung tersebut semalam. • Foto BERNAMA

KUALA PERLIS: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semalam berkenan melancarkan Program Transformasi Kampung, di Kampung Seberang Ramai di sini,yang dijangka mampu menjadi tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lalilatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena
Nuraniah Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco kerajaan negeri.

Pada program berkenaan,baginda turut berkenan melawat tujuh kampung terlibat iaitu Kampung Baru Seberang, Kampung Tandiap, Kampung Hujung Tanjong, Kampung Tengah, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.

Sementara itu, Exco Pelancongan Perlis Asmaiza Ahmad berkata,program yang telah mengubah kampung terlibat agar lebih ceria dan bersih yang dikenali sebagai Rumah Pelangi itu dilihat mampu menjadi satu produk pelancongan baharu, di negeri ini.

“Program transformasi yang bermula sejak hujung tahun lalu itu melibatkan 184 rumah di kawasan tersebut yang merupakan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP).

Ia secara tidak langsung membangunkan ekonomi penduduk di kawasan ini,” katanya, kepada pemberita di sini semalam.

Seorang penduduk Kampung Seberang Alor, Hatijah Halim, 66 yang lebih tiga dekad menetap di kampung itu, berkata, beliau sangat teruja dengan perubahan kampung itu yang lebih harmoni dan indah berbanding sebelum ini. – Bernama