Kampung Rambai mampan membangun

SELAMAT DATANG… Pintu Gerbang Kampung Rambai.

KAMPUNG Rambai Bekenu yang terpisah kurang 100 meter dari pekan Bekenu merupakan kampung yang terakhir mendapat pembangunan infrastruktur jalan raya di Daerah Subis.

Kampung ini dipisahkan dengan pekan Bekenu oleh Sungai Sibuti, kini semakin mendapat perhatian ekoran pembangunan pertanian yang dilaksanakan oleh masyarakat setempat.

Ketua Kampung (KK) Amir Emran ketika ditemui berkata, banyak kawasan hutan di belakang kampong ini yang telah diteroka untuk pelbagai tanaman pada masa ini.

Antara yang diusahakan termasuklah tanaman kelapa pandan dan nanas melalui peruntukan Kerajaan Sarawak yang disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu kepada penduduk di sini.

Perubahan mula ketara apabila majlis pecah tanah Jambatan Bekenu dilaksanakan oleh mantan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satempada tahun 2017.

Apabila jambatan ini siap pada akhir tahun 2018, ia membuka ruang untuk melonjakkan lagi ekonomi Bekenu, khasnya warga Kampung Rambai untuk sama-sama mendapat manfaat daripada pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan.

“Dengan siapnya jambatan penghubung itu, lebih mudah untuk para petani di sini memasarkan produk mereka.

“Sebelum ada jambatan, kita terpaksa mendayung sampan ke pekan Bekenu. Hasil pertanian memang sukar dimajukan kerana jumlah yang dibawa untuk dipasarkan amat sedikit,” jelasnya.

Justeru beliau berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana membawa pembangunan ke Kampung Rambai, terutama menghubungkan kampung tersebut dengan pekan Bekenu dan seterusnya bandar raya Miri.

“Kawasan tebing sungai di sini turut dinaik taraf dengan pembinaan benteng dan sistem jalan raya, sekali gus mengindahkan kampung kami.

“Kampung ini juga telah mendapat peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) daripada Datuk Rosey Yunus untuk pembinaan sebuah surau baharu yang sedang dalam pembinaan,” ujar beliau lagi.

Menyingkap sejarahnya,Kampung Rambai wujud sebelum Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1930-an. Ketika itu terdapat dua pokok Rambai di tebing sungai tempat yang menjadi tempat penduduk setempat menambat perahu mereka.

Bermula dari situlah nama Kampung Rambai itu wujud.

Terdapat 60 rumah di Kampung Rambai dengan isi rumah seramai 189 orang.

Utusan Sarawak difahamkan ada perancangan oleh pihak kerajaan tempatan untuk mendirikan beberapa pejabat kerajaan dan sebuah dewan di sini pada masa akan datang. Jika rancangan ini direalisasikan, ini akan merancakkan lagi pembangunan di kampung ini serta kawasan sekitarnya.

Oleh ADUM LIU