PELUANG PENALTI DIPERSIAKAN

ALA KUNGFU…Yuta Suzuki cuba melakukan rembatan ketika aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi,malam semalam.

KUCHING City FC berjaya menyekat kemaraan Negeri Sembilan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga apabila sekadar seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdu
Rahman, Paroi, Seremban malam semalam.

Kedua-dua pasukan gagal menterjemahkan sebarang gol sepanjang perlawanan sekali gus hanya mampu terikat tanpa jaringan.

Memasuki minit ke-75, peluang pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim mendapatkan gol pertama selepas dianugerahkan sepakan penalti gagal disudahi dengan sempurna.

Bryan Jone Anicezio gagal menyempurnakan peluang terbaik itu apabila sepakannya berjaya ditepis penjaga gawang tuan rumah, Mohd.Muhaimin Mohamad.

Berbaki 10 minit perlawanan skuad The City Boys membuat serangan bertubi-tubi namun tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan.

Sehingga tamat perlawanan,kedua-dua pasukan terus terikat tanpa sebarang jaringan dan masing-masing membawa pulang satu mata.

Keputusan tersebut menyaksikan Negeri Sembilan kekal rekod tanpa kalah selain kekal menghuni tangga teratas Liga Perdana dengan 14 mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Kedudukan kedua dihuni Sarawak United yang berbeza satu mata namun memiliki kelebihan satu perlawanan manakala Kuching City yang berada di tangga kesembilan.

Aksi seterusnya Kuching City ialah bertandang ke Stadium UiTM Shah Alam menentang Skuad Projek MSNFAM pada Rabu ini, jam 9.00 malam.

Oleh ADI SAFARMAN