Orkid bukan sekadar penyeri laman

Bunga Orkid sekarang ini bukan sekadar penyeri laman dan untuk santapan mata  tetapi keindahannya itu  boleh membawa pulangan lumayan untuk ekonomi negeri, khasnya dan negara, amnya. 

Dengan fungsi Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeksport bunga-bungaan terbesar di pasaran global maka orkid mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai salah satu cabang industri florikultur negeri dan negara.

Melihat kepada kepentingan, tidak hairanlah apabila tanaman orkid meliputi bahagian terbesar sektor florikultur negara ini dan orkid komersial menjadi pilihan ramai pengusaha tanaman ini.

Satu kajian dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menunjukkan bidang florikultur menyumbang nilai eksport RM449 juta pada tahun 2010 dan jumlah ini diramal meningkat dua kali ganda dalam tahun 2020.  Hanya sayangnya, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia bermula pada penghujung 2019 hingga sekarang, menjejaskan peluang ini.

Sumber dari Persatuan Penanam Orkid Komertsial Malaysia menunjukkan terdapat lebih 50 sepsies orkid yang ditanam untuk tujuan eksport. Antaranya termasuklah Aranda, Aranthera, Dendrobrium, Oncidium, Hotumara dan Mokara. 

Keindahan eksotik negara ini mendapat tempat di negara-negara pengimport seperti Jepun, Australia dan negara-negara Eropah.

Sarawak tidak terkecuali daripada  menanam visi untuk menjadikan orkid sebagai sumber eksportnya dan usaha ini telah dimulakan dalam tahun 1960-an lagi.  Meski masih belum mampu menyaingi negeri-negeri pengeksport orkid seperti Johor dan Selangor, usaha ke arah itu masih berterusan.

Malah Sarawak juga mempunyai spesies-spesies orkid unik yang tidak ditemui di tempat-tempat lain seperti Paphiopedilum Sanderianum dan Paphiopedilum Stonei.  Hadiah alam ini boleh dimanfaatkan untuk merancakkan lagi industri florikultur negeri.

Kedua-dua spesies ini dikatakan mempunyai permintaan tinggi daripada para peminat bunga-bungaan eksotik dari seluruh dunia.

Semasa Persidangan Orkid Asia Pasifik (APOC) Ke-13 pad atahun 2019, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyebut bahawa Sarawak sekarang ini memfokus kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menambah varieti orkid yang ada.

Sekarang ini Sarawak sudah mendokumentasikan lebih 1,000 orkidnya dan jumlah ini mungkin bertambah memandangkan masih banyak lagi spesies orkid yang belum ditemui di hutan-hutan yang belum diteroka di negeri ini.

Justeru ini membuka peluang untuk industri orkid komersial dan orkid hibrid untuk dibangunkan pada skala besar, selain membangunkan industri R&D dan pelancongan negeri.

Salah satu tarikan berkaitan orkid adalah Taman Orkid Dewan Bandaraya Kuching Utara seluas 15.4 hektar yang terletak berhampiran Astana dan bangunan Dewan Undangan Negeri di Kuching.

Oleh HAINI DARANI