Varian ‘Eek’ dikesan

JEPUN berdepan gelombang jangkitan baharu, menjelang temasya Olimpik Julai depan. • Foto AFP

TOKYO: Kira-kira 70 peratus pesakit koronavirus yang diuji di Hospital Tokyo bulan lalu membawa mutasi yang dapat mengurangkan perlindungan vaksin.

Perkara itu disahkan penyiar televisyen awam Jepun NHK, pada Ahad.

Mutasi E484k atau dikenali dengan nama “Eek” oleh beberapa saintis dikesan dalam 10 daripada 14 individu yang diuji positif virus itu.

Kesemua pesakit itu berada di sebuah hospital di Tokyo pada bulan Mac.

Selama dua bulan hingga Mac, 12 daripada 36 pesakit COVID-19 membawa mutasi itu.

Dilaporkan tiada seorang pun daripada mereka melakukan perjalanan ke luar negara atau mempunyai hubungan dengan individu yang pernah melakukannya.

Jepun berdepan gelombang jangkitan baharu, menjelang temasya Olimpik Julai depan.

Pada Jumaat, 446 jangkitan baharu dilaporkan di Tokyo, walaupun masih di bawah puncak lebih dari 2,500 pada bulan Januari.

Pakar kesihatan ketika ini bimbang dengan ancaman varian berasal dari UK yang kini berada di beberapa wilayah Jepun.-AFP