Haaland bayangi pemergian Aguero

ERLING Braut Haaland (atas kiri) melompat untuk menanduk bola semasa perlawanan Bundesliga Jerman antara Borussia Dortmund dan Frankfurt di Dortmund, barat Jerman. • Foto AFP

PINGAT kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA adalah satu-satunya penghormatan yang tiada dalam senarai penghargaan Sergio Aguero sebagai legenda Manchester City.

Tetapi pemain yang berpotensi menjadi penggantinya di Etihad musim depan, Erling Braut Haaland, akan menimbulkan ancaman terbesar jika anak buah Pep Guardiola gagal melepasi peringkat suku akhir sekali lagi menentang Borussia Dortmund.

City gagal melepasi peringkat lapan pasukan terakhir dalam empat musim sebelumnya sejak Guardiola mengendali kelab dari Manchester itu, tetapi telah memenangi 26 daripada 27 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan untuk mengekalkan harapan mereka mencipta sejarah dengan memenangi empat trofi.

Aguero adalah penjaring terbanyak sepanjang masa kelab dengan 257 gol, termasuk yang paling penting dalam sejarah City untuk merampas gelaran Liga Perdana Inggeris dari Manchester United pada musim 2011/2012.

Golnya membantu City merangkul tiga lagi gelaran liga, dengan yang kelima secara rasminya diperolehi dalam beberapa minggu akan datang.

Guardiola melabel sumbangan Aguero sebagai “tidak dapat diganti”, bukan hanya daripada segi gol dan piala yang dimenangi, tetapi di hati dan fikiran penyokong, yang telah dibayangi United sejak sekian lama sebelum kedatangannya.

Namun, pada musim ke-10 dan terakhirnya, pemain berusia 32 tahun itu telah tidak banyak memain peranan.

Aguero hanya menjaringkan tiga gol dalam musim penuh kecederaan dan Covid-19.

– ‘Saya tahu apa yang kita mahukan’ –

Sebaliknya, catatan Haaland dengan 49 gol dalam 50 perlawanan untuk Dortmund telah menjadikannya di kedudukan teratas senarai keinginan City untuk menggantikan Aguero.

Rekod pemain antarabangsa Norway ini dalam Liga Juara-Juara lebih hebat lagi, menjadi pemain terpantas yang mencapai 20 gol hanya dalam 14 penampilan dalam pertandingan kelab elit Eropah.

Dibeli dengan hanya 20 juta euro pada Januari 2020, Dortmund dilaporkan meminta 180 juta euro untuk aset berharga mereka pada musim panas ini, dengan kelab-kelab terbesar di Eropah berbarisuntuk mendapatkan tanda tangan Haaland.

Ayahnya, Alf-Inge Haaland, yang juga bekas pemain City, dan ejen Mino Raiola dilaporkan pergi ke Sepanyol untuk berbincang dengan wakil Barcelona dan Real Madrid pada Jumaat lalu.

Guardiola mendakwa City mungkin tidak mampu untuk mendapatan pengganti Aguero kerana kesan ekonomi dari wabak Covid-19.

Tetapi disokong oleh kekayaan negara Abu Dhabi, apa yang nyata City mempunyai daya sumber yang jauh lebih besar untuk dibelanjakan pada musim panas ini berbanding gergasi Sepanyol yang banyak berhutang.

“Saya sangat, sangat santai mengenai perkara ini kerana saya tahu apa yang kami mahukan,” kata pengarah sukan Dortmund, Michael Zorc.

Namun, gergasi Jerman itu mungkin mendapati tangan mereka dipaksa oleh tamparan ekonomi yang lain.

Walaupun dengan prestasi produktif Haaland, kekalahan 2-1 Sabtu lepas kepada Eintracht Frankfurt meninggalkan Dortmund tujuh mata di belakang empat pasukan teratas dalam Bundesliga Jerman dengan baki tujuh perlawanan lagi.

“Sekiranya anda bersikap realistik, walaupun dengan enam atau tujuh kemenangan, sukar untuk menduduki tempat keempat,” kata pemain pertahanan, Mats Hummels.

Untuk kembali ke Liga Juara-Juara mereka mesti memenangi pertandingan tahun.

Walaupun Dortmund mampu mengejutkan City, separuh akhir yang menakutkan menentang Bayern Munich atau Paris Saint-Germain menanti mereka.

Untuk mengekalkan Haaland dan bermain dalam Liga Europa musim depan mungkin terbukti menjadi tugas yang sukar bagi Zorc kerana barisan pertahanan sudah menemui vara untuk menghalang dia daripada menjaringkan gol. – AFP