TRANSFORMASI EKONOMI DIGITAL LANCAR

EKONOMI DIGITAL… Abang Johari ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Pelancaran MySRBN di Long Terawan, Mulu.

MULU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM200 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk membina 150 tapak jaringan jalur lebar luar bandar di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar serta memastikan transformasi ekonomi digital berjalan lancar di Bumi Kenyalang.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan menerusi SDEC telah membangunkan 100 tapak tersebut daripada 150 yang dirancang dan ia dilengkapi dengan kemudahan Jaringan Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN).

“Ini program dimana tempat yang ditempatkan ini (MySRBN) tidak dihubungkan dengan talian biasa.

“Jadi, ini tidak dapat dihubungkan. Jadi bila kita guna satelit, ia akan meningkatkan jaringan internet sebab ia menggunakan peranti khas,” katanya.

Ketua Menteri berkata demikian pada Majlis Pelancaran MySRBN di Long Terawan di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berharap agar penduduk luar bandar menggunakan kemudahan internet dengan baik serta mengelak daripada disalahgunakan sehingga boleh menyebabkan kesan negatif kepada masyarakat.

“Saya harap guna dengan baik (kemudahan internet). Internet ini, macam pisau. Kalau salah guna boleh membunuh, mana tidak masyarakat boleh bergaduh. Jangan guna buat fitnah… guna untuk kebaikan,” tegasnya.

Mengulas berkenaan MySRBN, Abang Jo berharap penduduk di Long Terawan terutama pelajar dapat memfaatkannya untuk meningkatkan taraf pendidikan selain untuk melibatkan diri dalam ekonomi digital.

“Inilah nikmat apabila kita dapat menaik taraf sambungan internet kita dan banyak kerja serta manfaat yang kita dapat daripada kemudahan internet ini.

“Sebelum ini untuk sekolah, kedua untuk kita hidup. Tadi saya ada melihat pokok pisang di sini. Tadi saya bayangkan kalaulah orang Terawan menanam pisang dengan tersusun, buah pisang boleh dijual pada masa itu juga dengan adanya internet di Long Terawan.

“Kita boleh jual pisang Long Terawan ke Singapura… ini cara baharu kita berdagang,” katanya.

Pada majlis tersebut beliau turut memberi jaminan akan mempertimbangkan beberapa permintaan penduduk di Long Terawan dan Baram pada keseluruhannya.

Antaranya, pembinaan Pusat Kebudayaan di Long Terawan yang telah diluluskan dan diberi peruntukkan sebanyak RM400,000 oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Jo juga meluluskan permohonan penduduk Long Terawan yang mahu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka disukat di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) sebelum disukat di bawah Seksyen 18 KTN.

Oleh ANTHONY PUNAN / ADUM LIU