Teruskan kerja kemasyarakatan

SEMANGAT BEKERJASAMA… Paulus Palu dan isteri menyertai program gotong-royong merakam gambar kenangan bersama sebahagian yang terlibat.

BATU DANAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)  perlu meneruskan kerja kemasyarakatan seperti bergotong-royong dari semasa ke semasa dalam mendekati dan menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang memberitahu, aktiviti gotong-royong  adalah antara landasan untuk penduduk kampung menjalinkan hubungan perpaduan dalam kalangan ahli bersama agensi kerajaan serta NGO.

Beliau menyatakan demikian pada Program Gotong-royong membaik pulih rumah kediaman orang kelainan upaya  (cacat deria penglihatan) Bakar Yasat, di Kampung Pandak baru-baru ini.

Program gotong-royong ini adalah anjuran SABERKAS Cawangan Batu Danau dengan kerjasama JKKK Kampung Pandak, Kelab Kebajikan Pejabat Daerah Limbang, Majlis Daerah Limbang dan Kelab 4 X 4 Batu Danau.

Mengiringi beliau ialah Pengerusi Kelab 4×4 Batu Danau  Julain Injan, Wakil Pegawai Daerah Limbang Faizul  Abdullah, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Batu Danau Kaunselor Elvis Mathew Bungsu dan Pengerusi JKKK Kampung Pandak Jinah Nanggang.

Paulus melihat melalui semangat gotong-royong, kerja  baik pulih rumah Bakar yang hidup sebatang kara ini dapat dilaksanakan dengan mudah lancar.

Menurutnya lagi tanggungjawab sosial korporat yang ditunjukkan oleh setiap ahli kelab dan NGO perlu dijadikan teladan kepada masyarakat luar.

Pada program itu Paulus yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Batu Danau turut menghulurkan sedikit bantuan kewangan dan barangan makanan kepada  Bakar.

Selain itu isteri Paulus, Puan Mary Sindang mewakili Sarawak Badan Amal Isteri-isteri (SABATI) turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan seperti beras kepada OKU berkenaan.

Oleh ADENG EDRUS