Mukah, Oya dibanjiri bubuk

DAPAT SAMBUTAN…Penjual Bubuk di Pasar Basah Mukah sedang melayani pelanggan mereka.

MUKAH:  Setelah melanda kawasan Miri dan Bintulu, kini Bubuk atau udang geragau telah memeriahkan Pasar Basah di Daerah Mukah dan Daerah Kecil Oya.

Pada peringkat awal atau lebih seminggu yang lalu, ia dijual dengan harga RM10 satu kilogram, namun semenjak beberapa hari yang lalu harganya menurun kepada RM5 sekilogram.

“Malah pada petang  Ahad, ada yang menjualnya  dengan harga RM20 untuk lima kilogram. Saya rasa mungkin sudah terlalu ramai yang menangkap udang ini,  terutama pada hujung minggu kerana cuti umum,” ujar salah seorang pembeli yang hanya dikenali sebagai Kak Ita.

Oleh kerana 2020 tidak ada bubuk atau hasil laut di perairan Mukah, jadi kemunculannya pada tahun ini sememangnya mendapat sambutan yang boleh dikatakan `luar biasa’ daripada penduduk tempatan.

Adalah difahamkan beberapa minggu yang lalu, penduduk di sini mendapatkan  bekalan bubuk daripada saudara mara atau rakan taulan yang tinggal di Bintulu dan Miri.

Oleh Henry B Siyu