Pasukan penguatkuasa MBKS dilengkapi kamera

DATUK Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng memasang kamera di pakaian seragam pasukan penguatkuasa MBKS.

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil langkah proaktif dengan melengkapkan pasukan penguatkuasanya dengan kamera untuk memantau tingkah laku pegawai ketika menjalankan tugas di lapangan.

MBKS dalam satu  kenyataan berkata, langkah berkenaan adalah selaras dengan hasrat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian untuk semua kerajaan tempatan meningkatkan perkhidmatan melalui teknologi digital.

Menurutnya, MBKS akan memulakan langkah baharu dalam melengkapkan pegawai penguatkuasa dengan kamera yang dipakai di badan sebagai usaha  memastikan kecekapan dan ketelusan yang lebih baik.

“Pada akhir tahun lalu, MBKS telah membeli satu set kamera yang dipakai di badan untuk digunakan oleh pasukan penguatkuasa MBKS dengan hanya ciri rakaman untuk penggunaan percubaan.

“Bagi tahun ini, untuk meningkatkan penggunaan kamera berkenaan, majlis telah membeli kamera tambahan dengan lebih banyak ciri seperti ‘Rakaman Langsung’.

“Rakaman yang diambil akan digunakan sebagai rujukan atau bukti sekiranya ada kejadian yang tidak diingini berlaku dan pada masa yang sama untuk meningkatkan integriti, kecekapan dan ketelusan Pegawai Penguatkuasa ketika berurusan dengan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Selain itu, majlis akan menguatkuasakan sepenuhnya penggunaan kamera yang dipakai badan untuk pasukan penguatkuasaan pada bulan Mei 2021 ini.

Pelancaran penggunaan kamera tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian. Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, bersama Pemangku Setiausaha Bandaraya dan Pasukan Penguatkuasaan melakukan ujian pada kamera badan baru pada Sabtu (3 April).

Oleh Jeakqleyn Yacho