Malaysia teruskan penggunaan Vaksin AstraZeneca

PUTRAJAYA, 6 April — Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (dua, kiri) dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (dua, kanan) menyaksikan majlis pertukaran Nota Kerjasama Kementerian Kesihatan dengan Kementerian Pengangkutan antara Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah (kiri) dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak (kanan) bagi Pembangunan Kopetensi Pemandu Ambulans, Kejuruteraan Automotif dan Program Keselamatan Jalan Raya di Kementerian Kesihatan hari ini. — fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA: Malaysia akan meneruskan penggunaan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis tandatangan Nota Kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Kementerian Pengangkutan di sini semalam, Dr Adham berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) semalam.

“Penggunaan vaksin AstraZeneca akan diteruskan kerana data klinikal yang didapati masih menjurus kepada kebaikan berbanding kemudaratan,” katanya serta menambah bahawa KKM mengambil maklum elemen kesan ‘adverse’ dan kes melibatkan thrombocytopenia yang dilaporkan.

Menurut laporan media, tujuh daripada 30 penerima vaksin jenis AstraZeneca di United Kingdom mengalami masalah pembekuan darah.

Pengawal selia kesihatan Britain dilaporkan sedang menimbangkan saranan untuk menyekat penggunaan vaksin jenis AstraZeneca dalam kalangan orang yang lebih muda berikutan kebimbangan tentang kes darah beku yang jarang berlaku.

Pada 2 April lepas, KKM telah memberi kelulusan pendaftaran bersyarat kepada vaksin AstraZeneca jenis cecair suntikan yang dibekalkan melalui kemudahan COVAX oleh pengilang SK Bioscience Co Limited, Korea Selatan.

Dr Adham berkata, Malaysia juga akan membuat pemerolehan 10 peratus vaksin jenis AstraZeneca dari Thailand secara pembelian terus. – Bernama