Curtin Malaysia anjur kursus Akuakultur Mampan

CURTIN MALAYSIA

Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) memperkenalkan satu kursus baharu di kampus Curtin Malaysia iaitu Ijazah Lanjutan Sains Dalam Akuakultur Mampan yang bermula Julai tahun ini.

Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains di Curtin Malaysia, Profesor Tuong-Thuy Vu, kursus ini memang kena pada masanya bagi menyokong industri perikanan dan akuakultur di Sarawak agar dapat berkembang pesat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Kursus tersebut bakal menyediakan para pelajar untuk berkhidmat di dalam bidang-bidang berkaitan akuakultur dan perikanan, selain direka berdasarkan perspektif akuakultur global bagi memastikan mereka sentiasa bersedia untuk berkhidmat di mana-mana sahaja.

Para pelajar yang mengambil kursus ini mesti mempunyai ijazah sama ada di dalam bidang perikanan, sains laut, pertanian atau sains makanan, akan meneroka prinsip-rinsip akuakultur dan faktor-faktor yang mempengaruhi viabiliti perternakan haiwan akuatik dan sistem pengeluaran makanan.

Mereka juga akan meneroka perniagaan komersial akuakultur mampan dan belajar kemahiran menubuh, mengurus dan melonjakkan perniagaan akuakultur.

Selain itu, mereka juga berpeluang melibatkan diri di dalam penyelidikan yang berkaitan melalui akses fasiliti penyelidikan moden di Curtin Malaysia dan Curtin University di Perth dan organisasi lain yang menjadi rakan kongsi.

Justeru, semalam Curtin Malaysia telah menganjurkan webinar bertajuk Akuakultur Di Sarawak : Cabaran dan peluang bagi meningkatkan kesedaran tentang industri akuakultur yang semakin berkembang di Sarawak.

Dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Curtin Australia, penganjurannya selaras dengan pengenalan kursus baharu tersebut.

Menurut Vu, webinar ini memfokus tentang pembangunan industri akuakultur yang sofistikated di Sarawak, termasuk penyelidikan dan pembangunan serta latihan tenaga kerja.

Tiga pakar akuakultur yang menjayakan webinar ini terdiri daripada Profesor Ravi Fotedar dari Fakulti Sains dan Kejuruteraan dari Perth, Chin Han Kiat dan June Moh Hwei Yieng dari Jabatan Pertanian Sarawak.

Profesor Ravi merupakan pakar di dalam bidang akuakultur mampan (laut dan sungai).  Beliau mempunyai pengalaman luas di dalam isu-sua mampan, termasuk pengeluaran mampan, impak alam sekitar terhadap akuakultur, pasca penuaian dan pemprosesan, nilai tambah dan jaminan kualiti makanan laut serta pengurusan projek dan pemasaran antarabangsa.

Sementara itu, Chin pula mempunyai lebih 10 tahun pengalaman di dalam projek dan subsidi akuakultur yang dilaksana di Sarawak.  Beliau yang merupakan ahli Institur Saintis Pertanian Sarawak dan Persatuan Perikanan Malaysia lebih menjurus kepada spesies laur dan teknik-teknik pembiakan.

Moh pula berpengalaman menguruskan program-program rasmi seperti program contoh, pendaftaran premis dan audit di Pusat Biokeselamatan Perikanan di Bintawa.  Beliau juga bertanggungjawab menyediakan program jaminan rasmi seperti pensijilan dan permit bagi tujuan import dan eksport.