Sejuta rakyat divaksin dalam 40 hari

Warga emas menerima vaksin Pfizer Covid-19 di pusat vaksinasi di Pulau Jeju, ketika kempen bermula bagi golongan berusia 75 tahun ke atas. – AFP

SEOUL:  Kerajaan Korea Selatan setakat ini telah menyuntik hampir 1 juta penduduknya dalam tempoh 40 hari sejak negara itu melancarkan kempen vaksinasi kebangsaan pada Februari lalu, demikian menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, semalam.

Menurut laporan agensi berita Yonhap, sebanyak 999,870 rakyat telah menerima suntikan vaksin dos pertama yang merangkumi 1.92 peratus daripada 52 juta penduduk negara itu, kata Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA).

Sementara itu, sebanyak 27,691 penduduk telah direkodkan menerima kedua-dua dos suntikan vaksin dalam tempoh sama.

Pada 26 Februari lalu, negara ini memulakan kemoen vaksinasi dengan pekerja kesihatan dan pesakit berusia di bawah 65 tahun yang memerlukan rawatan jangka panjang beserta petugas barisan depan menjadi antara yang pertama yang menerima suntikan dos pertama vaksin koronavirus.

Daripada jumlah itu, seramai 870, 724 penerima menerima suntikan daripada vaksin dua dos yang dikembangkan oleh syarikat gergasi farmasi Britain-Sweden, AstraZeneca dan Universiti Oxford, kata KDCA.

Sementara itu, 129,145 lagi menerima suntikan pertama vaksin dua dos Pfizer Inc. yang dikembangkan oleh gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.Kumpulan kedua ini kebanyakannya terdiri daripada doktor, jururawat dan pekerja profesional kesihatan lain yang merawat pesakit Covid-19 di wilayah Seoul.Kempen ini berjalan lancar dan cepat sejak vaksin Covid-19 pertama kali diberikan kepada masyarakat awam umum berumur 75 tahun ke atas bersama kumpulan lain yang terdedah kepada virus maut pada minggu lalu.

Pihak berkuasa merancang untuk memulakan program vaksin buat golongan yang berumur antara 65 hingga 74 tahun bermula bulan hadapan.Hingga akhir Jun, sejumlah 18.08 juta dos vaksin dijadualkan tiba di Korea Selatan dengan sekitar 2.69 juta dos vaksin sudah dihantar pada bulan lalu, kata KDCA.

Dalam tempoh April hingga Jun, sekurang-kurangnya 15.39 juta dos, termasuk 9.1 juta vaksin AstraZeneca, disahkan akan dibawa masuk ke negara tersebut. – AFP