1,200 MENARA TELEKOMUNIKASI MENJELANG 2022

Saya yakin sebelum 2022, kita dapat mencapai sasaran ini menerusi kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak dan Suruhanjaya Komunikasi Lembaga Multimedia Malaysia – Abang Johari

MIRI : Kerajaan Sarawak komited meningkatkan prasarana liputan jalur lebar di seluruh negeri  dengan mendirikan lebih 1,200 menara telekomunikasi menjelang 2022.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu telah dilaksanakan sejak beliau menerajui tampuk kepimpinan pada 2017 dengan pendekatan Strategi Ekonomi Digital  Sarawak 2018-2022.

Beliau berkata, di dalam  Rangka Tindakan (Blueprint) 2018-2022  itu, setidak-tidaknya mesti ada 1,200 menara telekomunikasi dibina di negeri ini dan menara itu akan  dilengkapi dengan peranti yang membolehkan perhubungan dari satu titik ke satu titik lain.

“Saya yakin sebelum 2022, kita dapat mencapai sasaran ini menerusi kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak dan Suruhanjaya Komunikasi Lembaga Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kerajaan Sarawak membangunkan lebih kurang 600 menara telekomukasi manakala SKMM  akan melengkapkan   686 menara telekomunikasi di bawah skim Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Ini bermakna, kita mempunyai lebih 1,200 menara telekomunikasi termasuk yang sudah dibina sebelum ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBC) di Mulu, dekat sini, semalam.

Abang Johari turut menegaskan kemudahan infrastruktur jalur lebar ini  perlu ditingkatkan supaya masyarakat dapat berhubung antara satu sama lain dalam semua sektor kegiatan ekonomi dan juga sosial.

“Seperti yang dikatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, Mulu Dato Gerawat dalam ucapan beliau tadi memang benar, sesiapa yang ‘check in’ di hotel, mereka tidak akan tanya mana bilik mereka, yang pertama ditanya apa password (kata laluan internet).

“Inilah budaya sekarang, apabila anda ‘check in’ di hotel, kita tidak bertanya tentang bilik tetapi kita akan tanya kata laluan internet,” katanya.

Dalam majlis sama,  Abang Johari juga mengumumkan untuk menambah kelajuan internet di semua penjuru bangunan  Mulu Marriot Resort agar semua pelawat taman negara tersebut dapat menikmati kemudahan internet.

 “Dengan adanya sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi di sini (Mulu), maka usaha untuk mempromosi sektor ekonomi dan pelancongan dapat dilakukan secara agresif,” ujarnya.

Hadir sama, Menteri Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala dan Pengarah Urusan SACOFA Sdn Bhd Zaid Zaini.

Oleh LIONG CHAI LING