‘Coastguard’ jaga perairan Sarawak

KETUA Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memeriksa barisan kehormat semasa menghadiri Majlis Pelancaran Sarawak Coastguard di Waterfront Kuching semalam.

KUCHING: Enam bot jenis pemintas (Interceptor) akan beroperasi di perairan Sarawak pada tahun ini bagi menjaga keselamatan nelayan dan sumber asli Maritim di sepanjang pantai negeri.

Ketua Menteri,  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan beberapa lagi kapal ronda laju untuk meronda persisiran pantai sedang diurus secara tender terbuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) .

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM90 juta bagi membeli aset untuk kegunaan ‘Sarawak Coastguard’ yang telah dibentangkan dalam Budget 2020 pada 4 November 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pengawal Pantai Sarawak di Tebingan Kuching,  semalam.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan dan keselamatan para nelayan di negeri ini.

“Hari ini (semalam), kita dapat menyaksikan sebuah kapal dan enam bot telah siap iaitu sebuah ‘Catamaran’ dan enam bot ‘Interceptor’ dengan enjin berkuasa 1,050 kuasa kuda setiap bot,” ujarnya.

Jelasnya lagi, aset berkenaan turut sesuai digunakan membantu rakyat semasa banjir besar dalam operasi menyelamat dan mencari (Search and Rescue).

“Sarawak Coastguard juga berperanan sebagai ‘compliment’ dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa lain sama ada negeri atau persekutuan.

“Ia akan menguatkuasakan undang-undang di bawah Ordinan Negeri khususnya State Fisheries Ordinance 2003, Forest Ordinance 2015, Wild life Protection Ordinance 1998, National Parks and Nature Reserves Ordinance 1998 dan Oil Mining Ordinance (OMO) 1958,” katanya lagi.

“Penubuhan Sarawak Coastguard ini juga merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak mewujudkan iklim yang terjamin untuk membolehkan dan menarik pelabur-pelabur asing dalam pembangunan Sarawak ke arah negeri maju pada 2030.

“Maka, dengan penubuhan Sarawak Coastguard ini, terbuktilah bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat,” tambah Abang Johari.

Oleh NUR AIN OTSMAN