Sidang Kemuncak Belia 2021 fokus perkasakan belia

DATUK Snowdan Lawan (tengah) pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Belia 2021 di DBP Kuching, semalam.

Bertempat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, telah berlangsung Sidang Kemuncak Belia 2021 yang dirasmikan oleh Datuk Snowdan Lawan, Menteri Muda Belia dan Sukan, merangkap Bendahari, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS). 

            Program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan TEGAS, dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sarawak dan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak ini, berupa yang kali keduanya dianjurkan selepas Sidang Kemuncak Belia 2019.

            Dalam ucapan perasmiannya Datuk Snowdan menegaskan penekanan tahun ini difokuskan kepada matlamat untuk memperkasakan generasi atau belia di Sarawak ke arah negara maju 2030 seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak.

            “Dalam bidang teknologi, kita bergerak ke arah teknologi digital dengan kewujudan Sarawak Multimedia Authority (SMA) yang secara tidak langsung membantu mempromosi kemampuan teknologi di Sarawak.”

            “Saya yakin, dengan adunan jitu pemikiran belia dan pembangunan prasarana teknologi, mereka dapat bersama-sama membangunkan serta menaikkan lagi imej Sarawak di mata dunia.”

            Memetik contoh penularan pandemik Covid-19, beliau menyatakan bahawa hal yang sedemikian itu mengubah cara hidup secara menyeluruh kepada teknologi maklumat seperti pembelian barang, makanan, malah cara kerja yang menggunakan pelantar media.

            Namun, beliau turut mengingati golongan belia bahawa walaupun teknologi berupa bidang yang amat berguna, namun, teknologi juga berupa tuan yang sangat berbahaya.

            “Oleh sebab itu, gunakanlah teknologi dengan berhemah supaya kita menjadi tuan yang menguasai teknologi, dan bukannya hamba yang dikuasai teknologi.” Tambah beliau.

            Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah DBP, Abang Haliman Abang Julai merakamkan penghargaan kepada pihak yang telah menjayakan program untuk memperkasa belia, khususnya di Bumi Kenyalang,

            Beliau turut memaklumkan bahawa satu model baharu yang bertepatan dengan semangat zaman atau zeitgeist telah dicetuskan dalam sesi dialog antara Menteri Belia dan Sukan Malaysia dengan Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia yang lebih konprehensif selain mensinergikannya dengan polisi nasional dan global, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama dan Matlamat Pembangunan Mapan.

            “Maka, model baharu ini harus turut mengambil kira pembaharuan ‘manhaj’ (model) gerakan belia sebagai lokomotif kepada Pembangunan Belia.” Ujar beliau.

            Sidang Kemuncak Belia kali ini terisi dengan Sesi Utama yang menampilkan Encik Ahmad Qadri bin Basri, penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2019 dan Encik Awangku Meralai Pengiran Mohamed, Ketua Pegawai Operasi TEGAS, membicarakan skop Agenda Belia untuk Mendepani Revolusi 4.0.  Sesi kedua berupa forum Bicara Orang Muda yang menampilkan Puan Diyana Abdul Hakim, pengasas Air Menoess, Encik Khalid Husseine Tuah, penerima Anugerah Belia Sarawak 2020, dan Puan Nur Azsheildha Sahran, penggiat sastera dengan tajuk, “Masa Depan Generasi Alfa di Tangan Generasi Y dan Z.  Moderator sesi-sesi berkenaan ialah, Encik Osman Zaini  dan Encik Muhammad Azizi Rahim, kedua-duanya Guru Besar Muda.