Vaksin Covid-19: Usah dengar khabar angin

TUNGGU GILIRAN… Simoi Peri dan Datuk Malcom Mussen Lamoh ketika hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Suarah Sri Aman di Bandar Simanggang.

SIMANGGANG: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dinasihat agar tidak mendengar khabar angin mengenai keburukan penggunaan vaksin Covid-19 pada masa sekarang.

Wakil rakyatnya Simoi Peri berkata penularan khabar angin mengenai kesan buruk penggunaan bahan itu telah menyebabkan sesetengah individu enggan menerima suntikan vaksin berkenaan pada masa sekarang.

“Adalah amat penting sebenarnya untuk seluruh rakyat terutama sekalinya dari DUN Lingga untuk mendaftar diri dan menerima suntikan vaksin Covid-19 di lokasi yang ditentukan kelak.

“Ini kerana suntikan vaksin tersebut bertujuan mempertingkat sistem imunisasi tubuh kita dalam melawan penularan pandemik Covid-19 di kawasan sekeliling sekarang,” kata beliau.

Menurut Simoi, individu yang telah menerima suntikan dua dos vaksin berkenaan mempunyai risiko amat rendah untuk tidak menyebar virus berbahaya tersebut terhadap ahli keluarga dan sahabat handai masing-masing.

“Dengan kata lain individu yang rela hati menerima secara lengkap dua dos suntikan vaksin berkenaan akan dapat melindungi ahli keluarga dan orang sekeliling daripada jangkitan pandemik itu.

“Justeru jangan biarkan diri kita berisiko menyebarkan virus berkenaan disebabkan oleh khabar angin berkenaan…berdaftarlah bagi tujuan tersebut selagi berkelayakan demi menghentikan penularan pandemik berbahaya itu di sini,” kata beliau.

Terdahulu Simoi telah pun selesai menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman dalam bandar ini pada Isnin lepas.

Turut hadir di Dewan Suarah Sri Aman untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 berkenaan adalah Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Malcom Mussen Lamoh.

Oleh VALENTINE NGUMBANG