Bekas kakitangan Imigresen bantu sindiket palsukan PLKS

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki (dua,kiri) melihat barangan rampasan yang dipamerkan ketika sidang media mengenai Ops Hacks- Sindiket Godam Sistem di Pejabat SPRM, Jalan Cochrane semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud (kiri). • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas kakitangan Jabatan Imigresen adalah antara individu yang disyaki membuka laluan kepada sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), dan menggodam sistem pangkalan data imigresen, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, bekas kakitangan jabatan berkenaan telah diberhentikan kerja beberapa tahun yang lepas.

“Bekas kakitangan itu dipercayai mempunyai akses menggodam sistem pangkalan data imigresen, sehingga membenarkan sindiketnya mencuri kata laluan pegawai-pegawai imigresen.

滴asil pembongkaran sindiket ini, mereka menggunakan peralatan antaranya seperti router, untuk menggodam sistem sehingga sindiket ini mampu mencetak dan menduplikasi perisian sistem berkenaan dengan mencetak PLKS di luar pejabat imigresen,・ katanya dalam sidang media operasi hack – sindiket godam sistem di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur, di sini.

Azam berkata, setakat ini seramai lima suspek termasuk seorang individu bergelar Datuk ditahan dan direman selama enam hari bermula semalam di Mahkamah Shah Alam.

Selain itu, Azam berkata setakat 9.00 malam tadi, pihaknya telah membekukan sebanyak 147 akaun melibatkan 30 individu dan 11 syarikat dengan jumlah sebanyak RM9.9 juta.

Beliau berkata, jumlah berkenaan akan bertambah apabila pihak bank selesai megemas kini baki akhir akaun itu selepas proses pembekuan dibuat.

Terdahulu Mahkamah Majisteret Shah Alam semalam, telah mengeluarkan perintah reman terhadap lima individu termasuk seorang individu awam bergelar Datuk selama enam hari bagi membantu siasatan kes Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu Jabatan Imigresen Malaysia.

Perintah reman hingga Isnin itu terhadap Datuk berusia 43 tahun dan empat individu lain berumur di antara 33 hingga 42 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil, selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya telah lama memperoleh maklumat berhubung sindiket pemalsuan PLKS dan mengambil keputusan menubuhkan pasukan khas, sejak pertengahan tahun lepas. – Bernama