Fokus pertumbuhan baharu pembangunan industri, logistik

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd kini memberi fokus kepada sektor pertumbuhan baharu pembangunan industri dan logistik dengan pelancaran utama pada tahun 2021, termasuk pelancaran selanjutnya di Elmina Business Park yang terdiri daripada 303 unit industri dan 78 unit komersial dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion.

“Penawaran produk kami telah berkembang, merangkumi rumah gudang siap bina pelbagai penyewa pertama dengan nilai GDV RM530 juta di Perindustrian Bandar Bukit Raja.”

Pada tahun 2021, kumpulan ini juga akan melancarkan kediaman mewah Jendela Residences di perbandaran KLGCC Resort yang unggul, seterusnya mempelbagaikan campuran produk kediaman Sime Darby Property, ” kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican dalam Laporan Tahunan syarikat.

Beliau menambah dengan GDV sekitar RM900 juta, Jendela Residences adalah yang pertama daripada projek bertingkat tinggi Kumpulan yang dilancarkan untuk tahun ini.

“Kami juga akan memperkuat portfolio runcit dan komersil kami sebagai penempatan dan komponen pemangkin untuk menambah nilai pada projek perbandaran. TPC Kuala Lumpur telah dikenal pasti sebagai titik fokus untuk meletakkan semula jenama KLGCC sebagai destinasi gaya hidup.”

Memasuki tahun 2021, Azmir berkata kumpulan itu fokus pada transformasi digital sebagai pemboleh utama operasi perniagaannya, inovasi dalam konsep gaya hidup yang muncul daripada keperluan tinggal di rumah, membina komuniti yang lestari dan mempercepat kepelbagaian pendapatan untuk mengukuhkan model perniagaan.

“Kami melihat tahun 2021 sebagai tahun penyatuan untuk menyusun strategi, melabur dan pendigitalan bagi memperkukuhkan lagi tapak kami dalam pasaran harta tanah dan membina asas yang kuat untuk tahun-tahun mendatang,” tambahnya.- Bernama