Myanmar kumpul petisyen penyalahgunaan hak junta

SEJAK rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, seramai 581 orang awam terbunuh ketika protes menentang junta di sekitar Yangon, Myanmar.

YANGON: Sebuah kumpulan yang mewakili pemerintah Myanmar yang digulingkan mengatakan bahawa mereka telah mengumpulkan 180,000 bukti yang menunjukkan penyalahgunaan hak oleh junta termasuk penyeksaan dan pembunuhan di luar mahkamah, semalam.

Negara itu berada dalam pergolakan sejak tentera menggulingkan pemimpin Aung San Suu Kyi pada 1 Februari, dengan hampir 600 orang terbunuh dalam tindakan keras terhadap tunjuk perasaan.

Jawatankuasa mewakili Pyidaungsu Hluttaw (CRPH), sekumpulan anggota parlimen dari parti Suu Kyi mengatakan peguamnya akan bertemu dengan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan tuduhan kekejaman yang dilakukan oleh junta.

“CRPH telah menerima 180,000 item bukti. Bukti ini menunjukkan penyalahgunaan hak asasi manusia oleh tentera secara meluas.

“Mereka termasuk lebih daripada 540 hukuman mati di luar mahkamah, 10 kematian tahanan dalam tahanan, penyeksaan, penahanan haram dan penggunaan kekerasan yang tidak seimbang terhadap tunjuk perasaan secara aman,” kata kenyataan itu.

Tunjuk perasaan yang menuntut kembalinya demokrasi dan pembebasan Suu Kyi daripada tahanan telah menggegarkan Myanmar hampir setiap hari sejak rampasan kuasa.

Penjawat awam, doktor dan pekerja utama lain turun padang sebagai sebahagian daripada gerakan ketidakpatuhan awam yang bertujuan untuk mencegah tentera mentadbir negara.

Sebagai tindak balas, pasukan keselamatan telah menggunakan peluru getah untuk menghalang demonstrasi dan menahan ribuan aktivis termasuk melakukan serbuan pada waktu malam.

The Assistance Association for Political Prisoners (AAPP), sebuah kumpulan pemantau tempatan, mengatakan 581 orang awam telah terbunuh dalam tindakan keras itu dan lebih dari 2,700 ditangkap.

Malah, hampir 50 orang mati adalah kanak-kanak.

Dengan banyak penyokong tunjuk perasaan dan aktivis Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) sekarang bersembunyi untuk melepaskan diri daripada penangkapan, manakala junta semakin aktif menangkap ahli keluarga mereka sebagai tahanan, menurut AAPP. -AFP