1,700 jalani PKPD di Kpg. Serpan Laut

SARINGAN COVID-19… Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) yang sedang giat dilaksanakan di Kampung Serpan Laut, Asajaya, semalam.

ASAJAYA: Seramai kira-kira 1,700 penduduk di Kampung Serpan Laut akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari sehingga 21 April 2021 ini.

Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) yang dilaksanakan di kampung berkenaan semalam menyaksikan kira-kira 400 penduduk telah menjalani saringan Covid-19 yang dikendalikan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang menggesa penduduk di Kampung Serpan Laut agar kekal tenang dan menerima keputusan ini sebaiknya demi kebaikan semua pihak.

Tambahnya lagi, pelaksanaan PKPD di Samarahan iaitu di Taman Univista dan Kampung Binyu menunjukkan keberkesanan tindakan berkenaan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak ke kawasan lain.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam memastikan penularan wabak ini dalam keadaan terkawal dan berharap agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Asajaya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan.

PKPD di Kampung Serpan Laut merupakan yang pertama di daerah Asajaya dilaksanakan setelah penelitian dibuat berdasarkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang berhubungkait dengan Kluster Kampung Binyu.

Kluster tersebut setakat ini telah menyebabkan seramai 122 individu disahkan positif Covid-19 serta membabitkan perebakan ke beberapa buah daerah termasuklah di Samarahan, Kuching, Asajaya dan Bintulu.

Oleh JEAKQLEYN YACHO