Murid boleh ‘tangkap’ guru tidak patuhi SOP

SIARAN LANGSUNG … Dr Annuar semasa sesi siaran langsung harian di Facebook miliknya, malam kelmarin.

SIBU: Murid sekolah boleh mencatat nama guru mereka yang tidak menggunakan pelitup muka di sekolah untuk diambil tindakan, kata Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapa’ee.

Dr. Annuar pada sesi siaran langsung Facebook miliknya kelmarin berkata, jangkitan di tempat kerja menjadi penyumbang besar kepada kenaikan jumlah kes positif Covid-19 di Sibu pada masa ini.

Beliau mengakui bahawa, sudah berlaku jangkitan di tempat-tempat kerja termasuk di sekolah.

“Sebabnya, ramai tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). Saya pernah melawat ke sebuah sekolah dan ternampak ada guru yang tidak mematuhi SOP.

“Sebab itu, saya telah berbincang dengan PPD (Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Ahli Chikba) bahawa anak murid boleh mencatat nama guru yang tidak menggunakan pelitup muka supaya dimaklumkan kepada guru besar atau pengetua sekolah.

“Saya minta maaf kerana terpaksa melakukan sedemikian kerana masih ada lagi guru yang tidak mematuhi SOP dengan tidak menggunakan pelitup muka semasa mengajar murid mereka.

“Saya mohon kepada guru-guru supaya sentiasa patuh kepada SOP ditetapkan semasa berada di dalam kawasan sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan orang ramai terutama mereka yang bekerja di pejabat atau kilang-kilang supaya tidak berkumpul terutama di tempat makan.

Ini kerana katanya, terdapat jangkitan di beberapa kluster adalah disebabkan pekerja berkumpul di tempat makan di pejabat, termasuk di kilang-kilang kecil.

“Perkara ini akan saya maklumkan kepada tempat-tempat lain juga bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja terus berlaku,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Kerajaan Tempatan itu sebelum ini dilaporkan berkata bahawa penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja berlaku kerana pematuhan SOP yang lemah.

“Lebih buruk lagi, mereka berkumpul pada waktu makan atau rehat di sudut kecil atau pantri (di tempat kerja),” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pejabat dan kilang kecil untuk tidak membiarkan kakitangannya makan bersama di pantri atau kawasan lain.

Oleh NURZILLA MOHAMAD