JaPen anjur IOW di SK Wira Jaya

INGIN TAHU…Seorang guru wanita turut bertanya soalan,manakala yang lain sedang menanti giliran masing-masing.

Umumnya diketahui bahawa kerajaan ketika ini berhadapan kesukaran untuk menyedarkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya pengambilan suntikan vaksin Covid-19 terhadap diri masing-masing.

Ia boleh dibuktikan apabila kerajaan kini giat menyiarkan iklan melibatkan beberapa pemimpin negara serta personaliti di kaca televisyen untuk mengajak rakyat bagi sama-sama mendaftar dan menerima suntikan vaksin itu pada masa sekarang.

Tidak cukup itu, para pemimpin negara juga dilihat bertindak menjadikan diri sebagai contoh pertama untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi membuktikan ia selamat dan boleh digunakan oleh rakyat.

Mengapakah iklan dan tindakan pemimpin itu dipaparkan menerusi kaca televisyen? Ini kerana penularan khabar angin mengenai bahaya vaksin Covid-19 telah menyebabkan segelintir rakyat tidak yakin untuk berbuat demikian walaupun ia tidak benar.

Ketidakyakinan rakyat untuk menerima suntikan vaksin itu secara tidak langsung telah menjejaskan usaha kerajaan untuk mengurangkan penularan jangkitan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara yang buat masa ini masih lagi terjejas.

Atas sebab itu adalah amat perlu bagi agensi kerajaan bertindak mensasar golongan tertentu ketika menganjurkan program kesedaran mengenai pentingnya pengambilan vaksin Covid-19 itu dalam kalangan rakyat di peringkat akar umbi.

Baru-baru ini,  Jabatan Penerangan (JaPen) Bahagian Samarahan telah menganjurkan Program Info On Wheels (IOW) di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira Jaya, Kuching bagi tujuan yang sama.

Menerusi penganjuran Program IOW itu, kerajaan menerusi agensinya itu berupaya menyampaikan taklimat mengenai perkara berkaitan suntikan vaksin Covid-19 terhadap warga pendidik dan kakitangan awam di sekolah berkenaan.

Taklimat berkaitan suntikan vaksin Covid-19 yang disampaikan menerusi program itu melibatkan seramai 30 warga SK Wira Jaya, Kuching yang terdiri daripada para guru dan kakitangan sekolah.

Turut hadir ialah Pegawai Penerangan Bahagian Samarahan, Latif Samsudin, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kota Sentosa, Dr. Nurul Azlin Mohd Noh dan Guru Besar SK Wira Jaya, Rosnah Posa.

Menerusi program itu, para warga pendidik dan kakitangan awam SK Jaya dapat menyebarkan maklumat secara mendalam kepada rakyat sekeliling mengenai Coronavirus yang mencetuskan pandemik berbahaya ini.

Malah taklimat yang disampaikan menerusi program ini juga akan dapat mempertingkat keyakinan warga pendidik untuk mengajak orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pelbagai penularan berita palsu berkaitan suntikan vaksin itu.

“Pihak kami berharap agar taklimat berkaitan Covid-19 dapat terus dilaksana menerusi Program IOW sehingga Malaysia diisytihar bebas daripada penularan wabak tersebut,” kata salah seorang warga pendidik di situ.

Pemahaman warga pendidik mengenai isu pandemik berkenaan dan lain-lain isu di negara ini turut dipertingkat apabila Jabatan Penerangan Malaysia menyerahkan bahan terbitan kepada pusat sumber SK Wira Jaya untuk kegunaan warga sekolah tersebut.

Penulis mencadangkan agar warga pendidik terus dijadikan sebagai golongan sasaran bagi menyampaikan maklumat mengenai kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 itu dan sekali gus menepis khabar angin tidak benar mengenai perkara berkenaan.

Lagi pun pemilihan warga pendidik  bagi tujuan itu wajar dilakukan kerana orang ramai meletak lebih banyak kepercayaan terhadap golongan tersebut dalam menyampaikan ilmu kepada mereka selama ini.

Oleh VALENTINE NGUMBANG