Kalong khazanah seni tradisi Orang Ulu

CANTIK… Antara contoh kalong yang sedang dalam proses untuk disiapkan oleh Freddy Lagey

‘Kalong’ atau corak motif tradisi masyarakat Ulu merupakan salah satu seni peninggalan zaman berzaman yang masih dipandang tinggi oleh kaum tersebut. 

Orang Ulu percaya bahawa motif ini mempunyai roh atau semangat yang mampu membantu, melindungi dan sebagainya dan dalam masa yang sama seni ‘kalong’ adalah contoh seni yang dapat memberi kita pengajaran dan kesedaran dalam hidup terutamanya dari segi penghargaan alam sekitar, emosi, psikologi dan ketamadunan sesuatu kaum.

Perhiasan motif ini menjadi lambang identiti yang hebat kepada Orang Ulu di mana motif ini mewakili banyak makna kepada mereka.

Bagi   Freddy Lagey Jelum, 27, memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Psikologi Industri dari Universiti Selangor dan merupakan orang pertama yang memiliki ijazah sarjana muda di Kampung Long Puah tidak melenyapkan rasa cinta beliau untuk menjadi generasi penerus kepada seni ukiran tersebut. 

SEJARAH

Menurut Lagey  yang mengakui bahawa beliau terinspirasi untuk menjadi generasi yang terus mengekalkan keindahan motif tersebut pada masa hadapan, beliau hanya belajar membuat ukiran tersebut daripada datuknya.

“Saya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas khas atau kelas seni yang mengajar mengenai ukiran kalong ini.

“Saya akui bahawa saya mempunyai minat dalam bidang seni dan saya gunakan ia untuk membuat kalong.

“Saya pelajari setiap motif, sejarah, kepercayaan mengenai kalong ini daripada datuk dan ayah saya yang juga merupakan pelukis kalong dan dari situ saya bertekad untuk menjadi generasi seterusnya yang mengekalkan tradisi melukis kalong ini,” ujarnya. 

JENIS DAN KEGUNAAN

Mempunyai variasi corak ukiran, Lagey menyatakan setiap kalong dikategorikan kepada beberapa jenis dan mempunyai mesej yang berbeza. 

“Antara contoh kalong dalam masyarakat Orang Ulu adalah seperti kalong kelunan (motif manusia), kalong kelawit-lawit (motif salur paut), kalong tebeggang atau tingang (motif burung kenyalang), kalong kayu aren, kayu udip (Kenyah), atau udo beran (bahasa Kayan) (pokok kehidupan).

“Selain itu, kalong juga memainkan pelbagai kegunaan dalam kehidupan masyarakat Orang Ulu. Merujuk kepada artikel yang ditulis Jeffrey Jalong (2001), antara kegunaan kalong adalah seperti menunjukkan simbol status dalam masyarakat di mana jenis-jenis kalong tidak boleh digunakan sesuka hati kerana sebahagian kalong merupakan identiti bagi golongan kelas atasan. 

“Seterusnya, ia dipercayai boleh melindungi dan memainkan peranan penting sebagai simbol atau lambang kepada seseorang individu tersebut. 

“Selain itu, ia juga dijadikan motif perhiasan barang kraftangan seperti motif yang terukir pada sesuatu kelebit (perisai), tuvung (drum) dan sebagainya serta dijadikan sebagai perhiasan diri atau tatu.

“Pada asasnya hiasan-hiasan motif tradisi ini berdiri dalam bentuk kalong nding, kalong besulan, kalong suka’ (motif pada tiang), kalong libun atau kalong lepubong yang ada kaitan dengan semangat padi.

“Kalong juga digunakan dalam pakaian tradisi masyarakat Orang Ulu yang digunakan semasa upacara rasmi dan keagamaan,” jelasnya.

MAMPU JANA PENDAPATAN

Mengulas lanjut, Lagey mengakui bahawa pengalamannya yang baru ‘setahun jagung’ dalam bidang tersebut tidak menghalang orang ramai menempah hasil kerja beliau.

“Setakat ini, ada dua kalong pada sape dan satu lukisan kalong yang sudah terjual namun, saya juga ada menerima tempahan yang baharu.

“Oleh kerana saya masih baru dalam bidang ini, saya hanya memberikan mereka pilihan untuk memilih kalong yang menarik minat mereka yang telah saya sediakan atau sekiranya mereka mempunyai pilihan mereka tersendiri, saya akan mengamati ia terlebih dahulu dan hanya akan menerima tugasan tersebut sekiranya saya merasa mampu,” jelasnya.

Lagey yang juga merupakan seorang Youtuber menyarankan generasi pada masa kini untuk tidak melupakan warisan yang diturunkan zaman berzaman meskipun sentiasa menikmati keindahan hiburan dalam dunia yang serba moden.

“Saya berharap anak-anak muda zaman sekarang berminat untuk mempelajari dan membuat kalong bagi mengekalkan kekayaan dan kreativiti yang diturunkan oleh datuk dan nenek moyang kita,” tambahnya.

Oleh RYNNA SHA’ERRA