Tidak balik sejak 13 Januari

CARI PENYELESAIAN… Jack Aman Luat mengadakan sesi dialog bersama wakil pekerja di sebuah kilang di Samalaju, semalam.

BINTULU: Sebuah kilang di Samalaju di sini tular di media sosial Facebook selepas tersebar satu rakaman menunjukkan sekumpulan pekerja mogok pada lewat malam Rabu.

Susulan itu, Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat bersama pihak berkuasa tampil di lokasi kejadian semalam bagi mengetahui punca mogok tersebut.

“Mereka (pekerja) tidak ber- puas hati kepada pihak pengurusan yang telah terlampau lama tidak membenarkan pekerja balik dan dikehendaki tinggal di asrama pekerja serta beberapa isu yang sedikit membebankan mereka.

“Kebanyakan mereka tidak balik sejak 13 Januari dan lepas itu dimaklumkan lagi bahawa tempoh tersebut disambung lagi hingga bulan Jun,” katanya, ketika ditemui Utusan Sarawak.

Justeru, beliau memberitahu, satu dialog telah diadakan bersama wakil pekerja bagi memberi jalan penyelesaian terbaik untuk para pekerja kilang terbabit.

“Saya terpaksa membawa Pegawai Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pengarah Jabatan Tenaga Rakyat untuk membuat sesi dialog dengan mereka orang bagi mencari penyelesaian.

“Mereka sudah bersurai dan pagi esok saya akan sambung lagi dialog untuk mengemukakan usul-usul di mana ia memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.

Difahamkan, para pekerja mula bangkit dan mogok selepas pihak pengurusan memaklumkan bahawa arahan untuk tinggal di asrama dilanjutkan lagi sedangkan sudah lebih tiga bulan tidak dibenarkan balik ke rumah.

Oleh CAROLYNE UTIH