Raih RM2,000 sehari

KEHADIRAN bubuk menyumbang pendapatan lumayan kepada nelayan.

Baru-baru ini,  nelayan  di sekitar bandar raya ini khususnya di Kampung Batu Satu sibuk “memburu” Bubuk atau udang geragau yang sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka.

Mana tidaknya, kehadiran bubuk  di perairan Miri bermusim ini menyumbang pendapatan lumayan kepada mereka.

Di sini, musim bubuk biasanya bermula beberapa hari selepas sambutan Tahun Baru Cina dan kebiasaannya musim ini  berlarutan sehingga bulan Mac.

Orang ramai akan berpusu-pusu membeli bubuk  segar untuk membuat belacan, cincaluk dan bubuk kering.

PENDAPATAN TANGKAP BUBUK LUMAYAN

Kehadiran hidupan laut ini membolehkan nelayan mampu memperoleh pendapatan tambahan mencecah RM2,000 sehari kerana permintaan terhadap bubuk amat tinggi.

Seorang nelayan di Kampung Batu Satu, Abdul Matalib,53, berkata, sememangnya musim bubuk adalah dinanti-nantikan penduduk di kampungnya yang 95 peratus penduduk terlibat dalam aktiviti menangkap ikan.

“Apabila musim bubuk tiba, inilah peluang kami untuk memperoleh pendapatan tambahan.

“Duit hasil jualan bubuk ini akan kami simpan dan bayar hutang.

“Itulah kami berasa sedikit lega apabila musim bubuk tiba,” katanya.

Matalib berkata, beliau boleh memperolehi pendapatan sehingga RM2,000 sehari hasil tangkapan bubuk.

“Sekiranya,kehadiran bubuk banyak dan keadaan cuaca baik, sekurang-kurangnya kami dapat mendaratkan lebih tiga tan bubuk sehari,” katanya.

Katanya, bubuk dijual pada harga antara RM3 hingga RM8 sekilogram bergantung  kepada lambakan bubuk.

PESTA BUBUK

Tahun lalu, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil inisiatif menganjurkan Pesta Bubuk  di Pasar Nelayan Kampung Batu Satu, Kuala Baram di sini.

Pesta Bubuk yang julung kalinya diadakan itu bertujuan untuk  menarik pengunjung dan pelancong dari luar Miri datang ke sini terutama menjelang ketibaan musim bubuk.

Datuk Bandar MBM Adam Yii yang merasmikan pesta tersebut turut merancang menjadikan Pesta Bubuk sebagai acara tahunan.

Bagaimanapun, pesta itu tidakĀ  dianjurkan pada tahun ini berikutan keadaan semasa pandemik COVID-19.

Oleh Liong Chai Ling