Pemain import dipersalahkan

KETUA JURULATIH KCFC… Irfan Bakti Abu Salim

PENGENDALI Kuching City FC (KCFC), Irfan Bakti Abu Salim menyalahkan pemain import atas kegagalan mereka mencatatkan keputusan postif apabila tewas ditangan Kelantan United FC (KUFC) 0-1 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam semalam.

Menurutnya, KCFC telah mendominasi perlawanan itu, tetapi tiada jaringan gol, adalah satu kerugian buat pasukan kendaliannya.

“Apa yang saya nampak pemain import saya tiada impak berbanding KUFC. Lihat saja import mereka iaitu Gassama Alfusainey, Yuki Tanigawa, Shuhei Fukai. Mereka beri impak pada perlawanan pasukan mereka.

“Jadi, kita kena buat sesuatu sebelum perlawanan pusingan kedua nanti kerana saya masih lagi yakin dengan pemain tempatan saya,” katanya kepada media selesai perlawanan itu malam semalam.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih KUFC, Akira Higashiyama memberitahu pasukannya bernasib baik untuk mencatatkan kemenangan tipis 1-0 keatas KCFC pada perlawanan itu.

Menurut jurulatih yang pernah mengendalikan skuad Kuching FA pada musim lepas berkata, walaupun mengetahui kekuatan pemain pelawat, KCFC jelas memberi masalah kepada Sang Kijang Hijau sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

“Kuching City menunjukkan satu persembahan hebat dan bersistematik.

“Seperti saya beritahu sebelum ini, saya tahu dan kenal rata-rata pemain mereka, dan kami bernasib baik untuk menang perlawanan ini”, jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Akira tetap gembira dengan corak permainan anak-anak buahnya dari awal sehingga tamat masa sebenar seterusnya mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut.

Pada perlawanan tersebut, Fakhrul Zaman yang bermula dari bangku simpanan meledak jaringan cantik melalui sepakan percuma pada minit ke-51 dan gol itu kekal sehingga masa sebenar berakhir.